PATI berjaya diusir keluar dari perairan negara

PATI berjaya diusir keluar dari perairan negara

Sandakan: Cubaan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) menceroboh masuk perairan negara, berhampiran Pulau Nunuyan, di sini, semalam tidak kesampaian apabila lelaki terbabit berjaya dikesan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki berasal dari negara jiran Filipina terbabit terus diusir keluar dari perairan negara ini.

Pasukan Polis Marin berjaya mengesan suspek dan terus mengusir dengan mengiringi bot berkenaan keluar dari perairan negara.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, pengusiran berkenaan berjaya dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) yang menjalankan rondaan di perairan daerah ini.

“Semasa membuat rondaan di kawasan tanggungjawab, PPM Sandakan mengesan bot berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan bergerak dari arah perairan negara jiran.

“Bagaimanapun, pasukan operasi yang sedang menjalankan rondaan berjaya memintasnya selepas dilihat cuba masuk ke perairan negara,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis mendapati PATI terbabit mendakwa berasal daripada Pulau Taganak Filipina.

“Bot itu kemudiannya diusir dengan diiring sehingga keluar daripada perairan negara,” katanya.

Rusdin berkata, PPM Sandakan sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Sandakan.

“Ia bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19 selain memastikan tidak ada mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pusat Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|