PPM beri amaran keras terhadap pengendali bot abai keselamatan murid

PPM beri amaran keras terhadap pengendali bot abai keselamatan murid

Kudat: Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat memberi amaran terhadap pengendali bot membawa murid sekolah yang gagal mengutamakan aspek keselamatan penumpang.

Ia berikutan satu laporan viral di Facebook hari ini mengenai murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapon di Pitas yang bersesak dalam bot tanpa memakai jaket keselamatan ketika pergi dan balik dari sekolah.

Gambar viral murid SK Mangkapon, Pitas bersesak ke sekolah menaiki bot tanpa jaket keselamatan.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas, dalam satu kenyataan hari ini, berkata, juragan atau pengendali bot bertanggungjawab memastikan murid yang dibawa memakai jaket keselamatan.

“Pihak PPM Kudat memberi teguran dan amaran keras kepada semua juragan bot yang bertanggungjawab menghantar dan membawa murid SK Mangkapon, Pitas agar memastikan semua individu yang menaiki bot memakai jaket keselamatan.

Anggota PPM Kudat memantau lokasi murid menaiki bot di SK Mangkapon, Pitas.

“Ia sebagai persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku ketika melalui sungai atau perairan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu sebagai maklum balas PPM terhadap satu hantaran ‘viral’ di Facebook hari ini yang membabitkan murid SK Mangkapon, Pitas.

Berdasarkan gambar dan keterangan dalam hantaran mengenai murid sekolah berkenaan, jelas kelihatan pengabaian aspek keselamatan ketika murid terbabit menaiki bot, selain dalam keadaan bersesak.

Susulan laporan itu, Cyril berkata PPM Kudat mengambil tindakan drastik memantau operasi bot yang membawa murid sekolah terbabit dan menjalankan pemantauan.

Katanya, pemantauan itu bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi murid terbabit dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan tahap keselamatan mereka ditingkatkan.

“PPM Kudat sudah membuat lawatan ke sekolah terbabit diketuai oleh Inspektor Mohd Harisman bagi meninjau sendiri keadaan murid yang menggunakan bot untuk pergi ke sekolah.

“Mengikut maklumat daripada pihak sekolah, murid terbabit sudah dibekalkan dengan jaket keselamatan bagi kegunaan menaiki bot ketika datang ke sekolah.

“Bagaimanapun murid terbabit tidak membawa jaket keselamatan ketika menaiki bot untuk ke sekolah,” katanya.

Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dengan menghubungi PPM pada bila-bila masa atau menghantar maklumat menggunakan aplikasi Whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

Share

Written by:

731 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!