Bomba bantu ambil pesakit warga emas akibat banjir

Bomba bantu ambil pesakit warga emas akibat banjir

Kota Belud: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerah membantu seorang warga emas yang dilaporkan pengsan di rumahnya di Kampung Pituru, Jalan Kelawat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang cuba merawat lelaki berusia 65 tahun itu bagaimanapun terpaksa mendapatkan bantuan bomba selepas laluan ke rumah mangsa dinaiki air.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 5.55 pagi.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud terus dikerah ke lokasi berkenaan untuk membantu mengambil mangsa.

“JBPM menerima panggilan daripada pihak KKM untuk mohon bantuan mengambil pesakit yang dilaporkan pengsan di Kampung Pituru, Jalan Kelawat, di sini, selepas laluan ke rumah mangsa dinaiki air.

“Pasukan bomba kemudiannya bertindak membawa Pegawai Perubatan ke rumah mangsa menaiki kenderaan utiliti bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa yang diperiksa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan.

Katanya, pasukan operasi seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.01 pagi” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|