SANDAKAN: Satu kebakaran besar memusnahkan kira-kira 1,000 buah rumah kediaman atas air jenis tidak kekal di Kampung Bahagia, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Balai BBP Sandakan, Jimmy Lagung, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 1:32 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 10 ekar dan telah terbakar hampir 100 peratus. Operasi pemadaman menghadapi cabaran besar berikutan laluan yang sempit, selain keadaan air laut yang surut menyukarkan sumber bekalan air terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain menyebabkan api merebak dengan pantas.
Seramai 37 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dan BBP Kinabatangan telah digerakkan ke lokasi bersama beberapa jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Compact FRT (CFRT), EMRS dan Water Tanker. Turut membantu adalah Pasukan Bomba Sukarela Karamunting serta agensi lain seperti SESB, APM dan PDRM.
Operasi pemadaman dijalankan secara ofensif dan defensif di kedua-dua bahagian kawasan kebakaran menggunakan empat aliran sepanjang 1,000 kaki dengan 12 pancutan. Bantuan dari BBP Kinabatangan pula menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan.
“Sumber air diperoleh daripada water tanker, pili bertekanan milik Kilang IOI serta air laut,” jelasnya lagi.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8:43 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari selepas kerja-kerja overhaul dan pemeriksaan keselamatan dilakukan.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
