SANDAKAN: Kerajaan Negeri Sabah akan menyalurkan bantuan segera sebanyak RM2,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas dalam kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi, tanpa mengira status kewarganegaraan.
Bantuan itu melibatkan kira-kira 2,001 ketua isi rumah, dengan RM1,000 disumbangkan oleh kerajaan negeri manakala RM1,000 lagi melalui Yayasan Kebajikan Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban mangsa yang ditimpa musibah.
“Bantuan untuk mangsa ini kita akan beri kepada semua ketua isi rumah sebanyak RM2,000 seorang. Kita tidak peduli sama ada warganegara atau bukan, sebagai kerajaan yang prihatin kita bantu semuanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi kebakaran serta menyantuni mangsa di Pusat Penempatan Sementara PPS Dewan PPR Taman Batu Sapi, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson.
Dalam kejadian awal pagi Ahad itu, kira-kira 1,000 rumah atas air dilaporkan musnah dalam kebakaran yang memusnahkan keseluruhan penempatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata kawasan Kampung Bahagia yang terjejas kini dicadang untuk dibangunkan semula sebagai penempatan sah.
Katanya, cadangan itu sedang diperhalusi termasuk kemungkinan menimbus kawasan bagi membina perumahan baharu yang lebih terancang dan selamat.
“Keputusan muktamad akan dibuat selepas laporan penuh daripada Jawatankuasa Bencana Daerah Sandakan diterima dalam tempoh satu hingga dua minggu,” jelasnya.
Kampung Bahagia sebelum ini merupakan penempatan pelarian yang diuruskan oleh UNHCR, melibatkan pelarian dari selatan Filipina sejak era konflik Moro sekitar tahun 1970-an.
Setakat ini, sebanyak enam pusat pemindahan sementara telah dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas, sementara pemantauan dan bantuan lanjut terus digerakkan oleh pihak berkuasa.
