SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia akan disalurkan tanpa mengira status, namun penyelesaian jangka panjang seperti perumahan akan memberi keutamaan kepada warganegara.
Beliau berkata pendekatan itu perlu mengambil kira realiti di lapangan memandangkan sebahagian mangsa terdiri daripada bukan warganegara.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut mengumumkan bantuan tambahan RM500 daripada Jabatan Perdana Menteri, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,500 bagi setiap keluarga.
Bantuan itu melengkapi sumbangan RM1,000 daripada kerajaan negeri Sabah dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan RM3,500 daripada kerajaan negeri dan persekutuan.
“Ada juga mencadangkan supaya kita kategorikan agak bercara berbeda. Memang kalau perumahan memang tentunya ada kategori berbeda kerana kita akan dukung hanya kepada warganegara dulu tetapi dari segi bantuan yang seribu kita beri kepada semua keluarga terlibat.
“Saya juga difahamkan bahawa ada sebahagian juga besar juga yang tidak mendaftar kerana kebimbangan mereka tidak akan diambil. Saya ingin menjaminan bahawa setakat ini yang kita jaga keselamatan dan kebajikan mereka ini bukanlah masa untuk kita kuat puasa undang-undang dan peraturan walaupun dalam jangka panjang kita harus nasihatkan mereka ikut proses daftaran yang seperti biasa,” katanya.
Bagi memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas, Anwar mengarahkan supaya pelajar kembali ke sekolah walaupun tanpa uniform buat sementara waktu.
Kementerian Pendidikan turut menyediakan bantuan RM300 kepada setiap murid warganegara Malaysia yang terjejas, melibatkan 454 pelajar dari 12 sekolah.
Selain itu, Jabatan Pendaftaran Negara akan menyediakan perkhidmatan bergerak bagi menggantikan dokumen penting yang musnah seperti sijil kelahiran, MyKad dan MyKid, manakala Jabatan Imigresen membantu penggantian pasport.
“Saya dah minta supaya bincang dengan Menteri Dalam Negeri pagi tadi dan pejabat wakil jabatan pendaftaran akan ke sini di sekitar Kampung Bahagia untuk mendaftar.
“Dan kita ada rekod mana tidak ada kebimbangan takut orang-orang yang bukan warga negara kerana daftar kita ada rekodnya dan kita akan pastikan nombor satu kita akan kembalikan sejarah kelahiran, MyKid, MyKad, sejarah kematian, sejarah perkahwinan termasuk bagi bukan Islam itu akan kita berikan dan kita tampung kosnya, tak bayar,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian selepas meninjau mangsa kebakaran di Masjid Kampung Bahagia serta di Dewan PPR Taman Batu Sapi.
Dalam pada itu, beliau berkata perancangan pembangunan semula kawasan terjejas akan dibincangkan bersama kerajaan negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, pendekatan tersebut perlu dibuat secara teliti memandangkan projek itu melibatkan skala besar serta keperluan dasar negeri.
