KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ingin melihat lebih ramai wanita terus diperkasakan melalui program-program yang berkesan yang memberikan mereka kemampuan untuk membuat pilihan dan terlibat dalam membuat dasar dan keputusan.
“Yang lebih penting, saya mahu wanita mempunyai akses kepada peluang, termasuklah pemerkasaan seperti dalam ekonomi, pendidikan, dan politik untuk membolehkan wanita membuat pilihan yang memberi impak positif kepada kehidupan mereka dan keluarga mereka,” katanya.
Berucap semasa majlis angkat sumpah ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) di Menara Kinabalu hari ini, Ketua Menteri berkata pemerkasaan wanita adalah penting bukan sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan wanita tetapi untuk kemajuan keseluruhan masyarakat.
“Pemerkasaan wanita akan membawa kepada hasil ekonomi yang lebih baik, keluarga yang lebih sihat, dan komuniti yang lebih adil. Tetapi ini memerlukan usaha kolaboratif daripada semua – kerajaan, organisasi, dan individu untuk mewujudkan persekitaran inklusif di mana wanita boleh mencapai kemajuan.
“Oleh itu, saya berharap ahli MPWS yang baharu dilantik ini akan dapat menjadi sebahagian jentera kerajaan dalam mengoptimumkan penglibatan wanita dalam pelbagai aspek bagi melahirkan wanita yang berilmu dan hebat yang boleh membawa nama negeri Sabah kepersada antarabangsa,” katanya.
Hajiji berkata peranan dan kepentingan wanita sebagai modal insan yang menjana pembangunan negeri semakin jelas.
“Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan membantu kerajaan dalam melahirkan wanita yang berilmu pengetahuan. khususnya dalam menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang memerlukan nilai-nilai kreativiti dan inovasi,” katanya.
MPWS ditubuhkan sebagai badan penyelaras dan penasihat kepada kerajaan Negeri serta pengantara kerajaan Negeri dan organisasi wanita bukan kerajaan.
Deasoka