KOTA KINABALU: Kenyataan Presiden Parti Warisan yang mendakwa pentadbirannya lebih baik berbanding era kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah disifatkan sebagai tidak berasas dan bercanggah dengan realiti semasa.
Mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Aksyah Nasrah berkata, kenyataan itu menunjukkan kecenderungan narsistik dalam kalangan pimpinan dan penyokong Warisan.
“Gejala narsistik ini merujuk kepada sikap meletakkan diri sebagai paling penting dan memerlukan pujian berlebihan, tanpa berpijak pada hakikat sebenar. Warisan mendakwa era mereka lebih baik, namun angka ekonomi membuktikan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, semasa pentadbiran Warisan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah mencatatkan penurunan ketara – 1.5% pada 2018, menurun kepada -0.7% pada 2019, dan merosot lagi kepada -7.5% pada 2020.
“Sebaliknya, selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran, ekonomi negeri menunjukkan pemulihan konsisten: 1.5% pada 2021, 3.5% pada 2022, 4.0% pada 2023 dan 4.5% pada 2024.
“Hasil negeri juga meningkat daripada RM5.4 bilion pada 2021 kepada RM6.96 bilion tahun lalu,” jelas beliau. Hasil negeri terus meningkat dan kadar pertumbuhan ekonomi sentiasa positif meskipun berhadapan dengan krisis kesihatan pada fasa awal pemerintahan. Namun dari setahun ke setahun, nilai KDNK sentiasa meningkat dan ini menggambarkan tadbir urus ekonomi negeri yang baik.
Aksyah turut menyenaraikan beberapa kelemahan pentadbiran Warisan yang sering menjadi keluhan rakyat, antaranya kebakaran berulang di kawasan setinggan, pembatalan projek penting seperti Pan Borneo yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan, pelantikan penjawat awam berpaksikan kawasan tertentu, serta dakwaan pemberian sokongan kepada permohonan kewarganegaraan oleh warga asing.
Katanya, penyokong Warisan di media sosial sering memanipulasi maklumat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri sedia ada, walhal GRS kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan merangkumi infrastruktur, pendidikan dan ekonomi.
“Rakyat perlu mengambil pengajaran daripada sejarah lalu agar tidak kembali ke era pentadbiran yang tidak stabil. Kekalkanlah kerajaan GRS demi kesinambungan pembangunan di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Aksyah kini menyokong penuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas meninggalkan BERSATU/Perikatan Nasional.
Deasoka