Umpama tepuk tangan sebelah, pendedahan Suhaimi hanya malukan UMNO Sabah: PERSANTUN

Umpama tepuk tangan sebelah, pendedahan Suhaimi hanya malukan UMNO Sabah: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Pendedahan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang mendakwa telah ada pengagihan muktamad kerusi antara BN dan PH Sabah hanyalah disifatkan sebagai sandiwara politik.

Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, ini memandangkan pihak PH Sabah dilihat agak terkejut dengan pengumuman itu sedangkan belum ada sebarang keputusan atau perbincangan rasmi dilakukan.

Jelas beliau, ini ditambah dengan kenyataan media daripada Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin yang menafikan perkara berkenaan.

“Bagi pendapat saya, pengumuman Suhaimi berhubung pengagihan kerusi itu merupakan plot politik terbaru mereka bagi mendapatkan publisiti umum.

“Ibarat bertepuk sebelah tangan, pihak yang dicanang mereka tidak tahu menahu mengenai perkara itu namum mereka (BN Sabah) pula seakan terhegeh-hegeh, “katanya.

Najib Tay menambah, kenyataan sumbang seperti itu secara jelas menunjukkan pihak BN Sabah semakin terdesak mendapatkan sokongan daripada PH Sabah yang merupakan sebahagian daripada kerajaan pentadbir GRS.
“Mereka sedia maklum, sebelum ini pihak PH Sabah berulang kali menjelaskan keterbukaan mereka berkerjasama dengan GRS, kalau pun BN Sabah mahu turut berkerjasama, rundingan bersama dengan GRS jangan diketepikan.

“Pengumuman seperti ini bagi saya hanya sekadar menghangatkan suhu politik di Sabah sahaja sedangkan kerajaan GRS-PH Plus di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pula konsisten dengan pembangunan serta kebajikan rakyat Sabah, “katanya lagi.

Terdahulu, senario politik di Sabah kembali dihangatkan apabila Suhaimi dalam sidang medianya di ibu negara telah mengumumkan pembahagian kerusi antara BN Sabah dan PH Sabah.

Suhaimi telah mendedahkan bahawa BN Sabah bakal bertanding 40 kerusi manakala PH Sabah bersetuju dengan pengagihan 33 kerusi.

Bagaimanapun, kenyataan Ketua Penerangan UMNO negeri itu dinafikan oleh PKR Sabah yang mendakwa tidak tahu menahu mengenai pembahagian kerusi berkenaan.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin dalam satu kenyataan balas berkata, pihaknya pelik dari mana BN Sabah mendapat angka kerusi tersebut sambil menjelaskan tiada pertemuan atau perbincangan rasmi antara kedua pihak diadakan setakat ini.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|