KOTA KINABALU: PKR Sabah menafikan sebarang persetujuan pembahagian kerusi melibatkan PH Sabah dan BN Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, Razeef Rakimin berkata, meskipun terdapat pertemuan tidak rasmi antara kedua pihak, belum ada sebarang keputusan muktamad dikeluarkan mengenai kerjasama mahupun pengagihan kerusi.
Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berhubung pendedahan agihan kerusi antara BN dan PH Sabah hari ini agak memeranjatkan kerana belum ada sebarang keputusan rasmi.
“Kita mengambil maklum kenyataan beliau yang memaklumkan UMNO Sabah akan bertanding 40 kerusi DUN pada PRN-17 Sabah manakala baki 33 kerusi lagi diserahkan kepada PH Sabah.
“Beliau juga menyatakan Harapan dan Barisan Nasional (BN) sudah ada persefahaman dan tidak akan ada pelanggaran agihan kerusi. Beliau juga mendakwa Harapan bersetuju dengan kerusi yang BN mahu tandingi.
“Di peringkat kami, pertemuan tidak rasmi telah dibuat namun tidak ada sebarang perbincangan dibuat setakat ini antara PH dan BN melibatkan bilangan agihan kerusi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, memetik kepada laporan media tempatan, Suhaimi dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur telah mendedahkan jumlah 73 kerusi yang bakal ditandingi oleh kedua pihak, BN Sabah dan PH Sabah bagi menghadapi pilihan raya tahun ini.
Dalam laporan tersebut, BN Sabah bakal bertanding 40 kerusi dan 33 kerusi dipersetujui oleh PH Sabah.
Ulas Razeef yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah itu, PH Sabah masih belum bertemu secara rasmi samada BN mahupun GRS bagi membincangkan isu kerjasama pilihanraya apatah lagi agihan kerusi.
“Kami tidak tahu dari mana Suhaimi dapat angka 40 kerusi dan kita tidak tahu dengan siapa beliau berbincang.
“Kami meminta UMNO untuk menasihati pimpinan mereka di Sabah untuk tidak mengeluarkan kenyataan unilateral terutama berkait kerjasama dalam mendepani PRN-17 dan agihan kerusi.
“Sebaiknya perundingan dibuat dahulu sebelum sebarang kenyataan dibuat, “katanya.
Jelasnya lagi, PKR dan PH Sabah terbuka untuk berkerjasama dengan semua pihak yang mempunyai aspirasi sama untuk negeri Sabah, namun biarlah perkara berkenaan dibincangkan dalam pertemuan rasmi.
Deasoka