Saya dan Toh Puan Faridah ingin mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Menuai kepada semua yang meraikan perayaan ini.
1 Mei menandakan permulaan bulan Tadau Kaamatan atau Pesta Kaamatan, satu perayaan yang melambangkan kepentingan mengekalkan nilai budaya dalam kalangan komuniti peribumi dan bagaimana nilai-nilai ini masih relevan pada masa kini.
Pesta Kaamatan dikaitkan dengan rasa kesyukuran atas hasil tuaian padi yang melimpah, yang merupakan sebahagian penting dalam kehidupan masyarakat pertanian tradisional. Perayaan ini masih menjadi sebahagian penting budaya tempatan kita dan terus dihormati serta diraikan oleh komuniti. Ia telah menyumbang kepada pengukuhan hubungan persahabatan antara pelbagai kumpulan peribumi dan etnik di Sabah, serta memperdalam kefahaman terhadap perbezaan amalan budaya yang unik.
Sabah sentiasa menjadi negeri yang istimewa kerana ketabahan kita selama ini dalam mempertahankan nilai-nilai yang diwarisi daripada cara hidup tradisional. Kita kekal sebagai wadah kepelbagaian dengan kumpulan etnik yang hidup harmoni. Perpaduan yang kita nikmati di Sabah menjadi contoh bagi Malaysia. Saya yakin kita semua berbangga dengan warisan ini yang dapat kita kongsi bersama rakyat Malaysia yang lain dan juga dunia.
Kotobian Tagazo do Kaamatan.
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman