SAPP: Kementerian Kewangan perlu hapuskan duti setem ke atas kontrak pekerjaan

SAPP: Kementerian Kewangan perlu hapuskan duti setem ke atas kontrak pekerjaan

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa Kementerian Kewangan Persekutuan supaya menghapuskan sekaligus pengenaan duti setem dan denda berkaitan ke atas kontrak pekerjaan.

Dasar ini, yang tidak pernah dikuatkuasakan sebelum ini, telah tiba-tiba dilaksanakan tanpa sebarang notis rasmi terdahulu. Tindakan ini telah menimbulkan kekeliruan dan menyusahkan para majikan.

Ramai pengusaha, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan keluarga, boleh dikenakan denda kerana gagal disetemkan kontrak pekerjaan dalam tempoh 30 hari, walaupun syarat ini tidak pernah dikuatkuasakan sebelum ini.

Akta Kerja 1955 memang mewajibkan kontrak bertulis bagi pekerjaan melebihi satu bulan, namun tidak mensyaratkan kontrak tersebut perlu disetemkan untuk dianggap sah.

Oleh itu, keperluan duti setem ke atas kontrak pekerjaan bukan sahaja lapuk dan tidak praktikal, malah ia membebankan majikan dan pekerja secara tidak wajar.

Majikan tidak sepatutnya dikenakan denda secara surut untuk suatu peraturan yang tidak pernah diumumkan dengan jelas atau dikuatkuasakan sebelum ini. Dalam suasana perniagaan yang semakin mencabar, kerajaan seharusnya mengurangkan kerenah birokrasi, bukannya menambah beban, demi membina iklim perniagaan yang stabil dan mesra.

Kami tidak meminta kelonggaran sementara atau pengecualian kerana musim pilihan raya. Kami menuntut supaya dasar ini dimansuhkan serta-merta dan sekaligus.

Chin Vui Kai
Ketua Penerangan
Parti Maju Sabah (SAPP)

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|