Tun Musa Aman beri penghormatan terakhir kepada Pak Lah

Tun Musa Aman beri penghormatan terakhir kepada Pak Lah

Kenyataan Media:

Hari ini saya berpeluang memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, Kuala Lumpur susulan pemergian beliau semalam.

Saya dan isteri merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga Allahyarham Tun atas kehilangan ini. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara.

Tun Abdullah atau lebih dikenali ramai sebagai Pak Lah merupakan seorang negarawan sejati yang mendedikasikan seluruh hidupnya berbakti kepada masyarakat dan usaha membina negara sebagai Perdana Menteri Kelima Malaysia.

Saya masih ingat ketika saya menjadi Ketua Menteri Sabah, beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan berjaya mencatat kemenangan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum ke-11.

Walaupun pentadbiran beliau berdepan beberapa isu dan cabaran, beliau sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan kebajikan rakyat.

Pak Lah ialah seorang pemimpin yang mudah didekati serta berwibawa dalam kepimpinannya, lebih gemar menggunakan pendekatan diplomasi senyap berbanding perdebatan politik secara terbuka.

Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali. Semoga Allah SWT mengurniakan roh Allahyarham Tun tempat tertinggi di Jannat-ul-Firdaus.

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|