KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar, mengalu-alukan langkah proaktif kerajaan memperkasa modal insan melalui pendidikan dan latihan di negeri ini.
Berucap membahas Ucapan Dasar Kerajaan di DUN Sabah hari ini, beliau berkata usaha itu seiring dengan teras utama agenda Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, pelaburan dalam pembangunan modal insan, khususnya melalui pendidikan dan kemahiran, merupakan langkah strategik ke arah melahirkan modal insan berkualiti, kompetan dan berdaya saing.
Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah menjelaskan bahawa Kumpulan Yayasan Sabah turut memainkan peranan sangat siginfikan dan menjadi peneraju dalam segmen pembangunan modal insan.
Katanya, Kumpulan Yayasan Sabah menerajui penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menyediakan dana pendidikan kepada anak-anak tempatan.
Beliau berkata dianggarkan kira-kira 8,000 anak Sabah yang melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara telah dibantu di bawah TPNS pada tahun lalu membabitkan peruntukan sebanyak RM8 juta.
“Manakala pada tahun ini TPNS menyasarkan untuk membantu lebih 10,000 penerima golongan B40, termasuk mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, sampai ke peringkat Sarjana Muda dan Doktor Falsafah,” katanya.
Deasoka