KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy) mencatat lonjakan 40 peratus dalam keuntungan selepas cukai kepada RM362 juta (sebelum audit) bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 daripada RM259 juta pada tahun sebelumnya, mencerminkan prestasi yang kukuh, walaupun syarikat berhadapan dengan pasaran tenaga global yang tidak menentu.
Peningkatan prestasi ini didorong oleh beberapa faktor utama, antaranya pengoptimuman aset strategik, pengurusan kos yang berdisiplin, dan pertumbuhan hasil yang kukuh.
Hasil SMJ Energy juga menunjukkan lonjakan yang ketara, didorong oleh sumbangan daripada beberapa aset utama Syarikat termasuk Samarang Production Sharing Contract (PSC), loji pencairan LNG Train 9, Petronas Chemical Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB), serta Floating Production & Storage (FPSO) dan Floating Storage Operation (FSO) dari Sabah International Petroleum (SIP), yang bebas daripada hutang.
Menurut Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Kewangan Sabah dan Pengerusi SMJ Energy, kejayaan ini adalah hasil daripada dedikasi dan usaha keras pasukan profesional yang bekerja rapat dengan pihak berkepentingan utama, termasuk Petronas.
SMJ Energy juga memiliki portfolio yang seimbang, merangkumi sektor Upstream, LNG, Petrokimia (Petchem), serta FPSO/FSO. Portfolio yang pelbagai ini memberikan kestabilan kewangan syarikat, memastikan ia tetap kukuh walaupun berdepan dengan situasi harga minyak yang rendah.
Walau bagaimanapun, Masidi memberi peringatan agar syarikat sentiasa berwaspada terhadap perubahan luar yang boleh menjejaskan prestasi.
Beliau merujuk kepada ketidaktentuan pasaran global, termasuk perang tarif yang berterusan dan turun naik harga minyak, sebagai cabaran yang perlu dihadapi dengan hati-hati.
“Ketidaktentuan dalam pasaran minyak global menekankan betapa pentingnya kita mengekalkan pengurusan risiko yang proaktif dan strategi pelaburan yang berhati-hati,” katanya.
Deasoka