Inisiatif ECoS bagi pembangunan negeri & kesejahteraan rakyat

Inisiatif ECoS bagi pembangunan negeri & kesejahteraan rakyat

KOTA KINABALU: Pelbagai inisiatif telah diambil oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya dalam sektor tenaga.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini termasuklah pelancaran Label Keselamatan ECoS-SIRIM versi terkini.


Beliau menyifatkan inisiatif ini adalah satu langkah proaktif ECoS untuk melindungi kepentingan pengguna termasuk memastikan hanya peralatan elektrik dan gas yang selamat serta berkualiti tinggi akan dipasarkan di negeri ini.


Menurutnya, pelancaran label ini juga membawa kepada program penting yang berkaitan iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) diantara ECoS dan Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak.


Katanya, kerjasama strategik ini sangat penting dan menzahirkan pengiktirafan bersama terhadap keselamatan peralatan elektrik dan gas serta menekankan peranan ECoS dalam memastikan produk yang digunakan oleh rakyat memenuhi piawaian tertinggi.


“Ianya juga menunjukkan satu lagi bidang kerjasama untuk manfaat bersama hasil pertalian erat yang sedia terjalin di antara Sabah dan Sarawak melalui kedua-dua badan berkuasa pengawalselia masing-masing.

“Saya yakin dengan termetrinya MoU ini, akan memperluaskan pasaran produk-produk yang berkualiti dan diiktiraf bagi kemudahan pengguna dan peniaga kedua-dua negeri”, katanya.


Hajiji berkata demikian pada Majlis Pertukaran MoU diantara ECoS dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak serta Pelancaran Label ECoS/Sirim dan Pelancaran Program TVET Angkat ECoS sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri ECoS di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Selasa.


Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan elektrik dan gas serta memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan barangan pengguna terutamanya barangan yang berisiko tinggi.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|