Kota Kinabalu: Pengeluaran Sabah IC kepada warganegara Malaysia berstatus Sabah adalah jalan penyelesaian terbaik untuk menoktahkan terus masalah berlarutan mengenai dokumen kewarganegaraan yang meragukan, yang telah dikeluarkan selama ini oleh pihak berkuasa persekutuan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Kita tidak perlu membazir masa untuk berdebat semula isu dokumen kewarganegaraan yang meragukan kerana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah telah pun menerbitkan penemuan dan syor-syornya pada Disember 2014.
Penemuan RCI disokong oleh fakta, dokumen dan keterangan ramai saksi. Seorang saksi mengaku dilahirkan di luar negara tetapi diberikan MyKad dengan digit -12- yang menandakan kelahiran di Sabah. Beliau kemudiannya menjadi pemimpin sebuah parti politik dari Semenanjung untuk cawangan Sabah. Berdasarkan kedudukannya dalam parti, beliau malah dilantik menganggotai Lembaga Pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah. Sandiwara sebegini mesti dihentikan.
Pegawai kerajaan pernah disabitkan kesalahan kerana terlibat dalam pembuatan dokumen palsu. Antara 1995-1997, anggota sindiket IC palsu telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (kini dimansuhkan). Sejak itu, sebahagian mereka telah meninggal dunia. Ramai pemegang IC palsu telah pulang ke negara asal masing-masing secara sukarela.
Apa lagi yang kita tunggu? Black Sunday lagi?
Tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendaftaran Negara 1959, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 yang melarang pengeluaran IC Sabah, kerana IC Sabah dikhususkan hanya untuk warganegara Malaysia berstatus Sabah, bukan warga asing. Malah, akta-akta parlimen dan Perlembagaan yang sama turut memperuntukkan zon berbeza bagi wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. IC Sabah tidak memberikan kewarganegaraan kepada bukan warganegara; pemberian kewarganegaraan hanya boleh dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.
Jadi, apa lagi yang ditunggu oleh Sabah? Mengungkit isu lapuk tanpa menawarkan penyelesaian hanya akan merunsingkan rakyat dan mengganggu tumpuan kerajaan daripada menyelesaikan masalah harian berkaitan ekonomi dan infrastruktur yang dihadapi rakyat biasa. Haruskah Pemuda SAPP menganjurkan semula protes Black Sunday?
Pengeluaran IC Sabah kepada warganegara Malaysia berstatus Sabah dapat membezakan antara warganegara Malaysia tulen berstatus Sabah dengan bukan rakyat Sabah yang telah diberikan kewarganegaraan Malaysia. Untuk menghilangkan segala keraguan: warga asing yang telah diberikan kewarganegaraan Malaysia oleh Kerajaan Malaysia kekal sebagai warganegara Malaysia tetapi mereka bukan rakyat Sabah. Mereka masih tertakluk kepada kawalan imigresen Sabah. Warganegara Malaysia tulen dari Semenanjung dan Sarawak yang telah menetap lama di Sabah juga boleh dipertimbangkan untuk diberikan IC Sabah, tertakluk kepada budi bicara Kerajaan Sabah semata-mata. Adalah tidak berperlembagaan bagi Kerajaan Persekutuan untuk mengeluarkan MyKad dengan digit -12- (menandakan lahir di Sabah) kepada warga asing kerana MyKad ini secara haram memberikan status Sabah malah status Anak Negeri kepada warga asing yang jelas bukan Anak Negeri Sabah.
Datuk Yong Teck Lee
Presiden SAPP
Bekas Ketua Menteri
Deasoka