Sabah for Sabahan: Bukan sentimen kenegerian, tapi aspirasi rakyat yang tulus

Sabah for Sabahan: Bukan sentimen kenegerian, tapi aspirasi rakyat yang tulus

KOTA KINABALU: Slogan “Sabah for Sabahan” bukanlah semboyan kenegerian sempit mahupun agenda perkauman seperti yang digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya ia adalah manifestasi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan masa depan negeri ini diterajui oleh pemimpin dan parti tempatan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat di bumi di bawah bayu.


Mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Aksyah Nasrah yang kini menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menegaskan bahawa reaksi berlebihan pemimpin UMNO/BN terhadap slogan ini memperlihatkan keengganan mereka menerima hakikat perubahan landskap politik Sabah.


“Slogan ini hidup kembali bukan kerana ditiup api sentimen, tetapi kerana rakyat melihat keperluan untuk mempertahankan hak, maruah, dan masa depan Sabah daripada terus ditentukan oleh kuasa luar yang tidak memahami realiti di negeri ini,” tegasnya.


Hajiji Tidak Pernah Melafazkan Slogan Itu, Tetapi Prinsip GRS Tegas


Menurut Aksyah, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor tidak pernah melaungkan slogan tersebut secara rasmi. Namun yang jelas, pendirian beliau bahawa GRS sebagai gabungan parti tempatan adalah penentu utama segala bentuk kerjasama politik di Sabah, adalah selari dengan semangat “Sabah for Sabahan”.


“GRS adalah kerajaan negeri yang sah. Maka sebarang rundingan atau kerjasama politik menjelang PRN-17 sepatutnya berteraskan kepada kekuatan GRS dan aspirasi rakyat, bukan didikte oleh pusat,” katanya.


Kerjasama PH-BN Pandang Sebelah Mata GRS


Beliau turut melahirkan rasa hairan bagaimana pengumuman kerjasama PH-BN pusat langsung tidak mengambil kira kedudukan GRS sebagai kerajaan negeri.


“Bagaimana mungkin rundingan penting seperti ini dibuat tanpa melibatkan ‘tuan rumah’? Bukankah GRS yang memegang tampuk kuasa di Sabah? Ini jelas menggambarkan betapa ada pihak luar yang cuba merangka masa depan negeri ini tanpa sensitiviti kepada realiti politik tempatan,” ujar beliau.


Mengulas cabaran awal oleh beberapa pemimpin UMNO Sabah agar Ketua Menteri membubarkan DUN jika beliau ‘anak jantan’, Aksyah menyifatkan kenyataan itu sebagai provokasi kosong yang kemudian disusuli dengan tindakan “U-turn” apabila Presiden UMNO sendiri mencadangkan idea ‘Grand Coalition’.


“Awalnya kelihatan gagah seperti kokokan ayam jantan, tetapi akhirnya menjadi Ayam Serama – comel tapi tak berani. Idea Grand Coalition itu sendiri hanya muncul setelah terkesan dengan kekuatan pengaruh slogan ‘Sabah for Sabahan’,” katanya sinis.

Tiada ‘Kahwin Paksa’, Pertandingan Terbuka Lebih Sihat

Aksyah berkata, beliau maklum bahawa ramai pemimpin BN Sabah tidak berminat menjalin kerjasama dengan GRS – dan begitu juga sebaliknya.

“Jika dua pihak tidak sepakat, usahlah dipaksa berkahwin. Kahwin paksa biasanya berakhir dengan ‘sad ending’. Biarlah kita bertanding secara terbuka dan sihat. Ini lebih jujur, lebih bersih, dan lebih matang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ramai ahli akar umbi GRS masih belum melupakan trauma Peristiwa Langkah Kinabalu, manakala di pihak BN pula masih wujud perasaan curiga terhadap GRS.

“Sabah for Sabahan”: Tuntutan Autonomi, Bukan Penolakan Pusat

Menurut Aksyah, slogan ini bukan bermaksud menolak Kerajaan Persekutuan, sebaliknya menuntut agar Sabah diberi ruang mengurus sendiri hal ehwal dalaman dengan lebih bebas, demi kestabilan politik dan pembangunan ekonomi.

“Jika politik Sabah stabil, maka hubungan dengan Kerajaan Persekutuan juga akan lebih stabil. Rakyat Sabah bukan menolak, tetapi mahu dihormati,” ujarnya.

Rakyat Mahu Menara Kinabalu Jadi Pusat Kuasa Sebenar

Aksyah menegaskan bahawa PRN-17 kali ini adalah medan yang akan menentukan hala tuju sebenar legasi Sabah Maju Jaya.

“Rakyat mahukan Menara Kinabalu menjadi pusat pentadbiran sebenar yang tidak dikawal dari luar. Mereka sudah memberi isyarat yang jelas bahawa masa depan Sabah mesti ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri,” katanya.

Hormati Aspirasi Tempatan – Seperti Anda Hormati “Bangsa Johor”

Mengakhiri kenyataannya, Aksyah menggesa semua pihak agar tidak mempersendakan semangat “Sabah for Sabahan” kerana slogan itu lahir daripada denyut nadi rakyat Sabah.

“Kalau slogan ‘Bangsa Johor’ atau ‘Sabah Kita Punya’ boleh diterima, kenapa ‘Sabah for Sabahan’ dijadikan isu? Ini bukan retorik politik – ini adalah suara hati rakyat Sabah,” tegas beliau.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|