KUNAK: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghormati pandangan Perdana Menteri X, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai langkah memastikan kestabilan politik di Sabah pada pertemuan mereka di Tawau pada Ahad.
Ia berkaitan hasrat PM selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) untuk melihat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat bersama dengan PH dan Barisan Nasional (BN) dalam kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Katanya, GRS tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama, namun menjelaskan bahawa perkara itu perlu diputuskan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) gabungan berkenaan terlebih dahulu.
“Saya berjumpa dengan Perdana Menteri dan kita amat menghormati pandangan serta nasihat beliau mengenai macam mana untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah kerana kalau stabil kita boleh maju dan melaksanakan pelbagai pembangunam untuk rakyat dan kita menghormati itu.
“Dalam konteks kerjasama, kita tiada masalah kerana kerajaan negeri hari ini adalah GRS-PH Plus. Tapi, apa pun keputusan kita pada PRN nanti, kita akan rujuk kepada Ahli Majlis Tertinggi GRS untuk memutuskan.
“Tapi saya menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa di Sabah kita perlu melihat aspirasi tempatan untuk mewujudkan persefahaman politik untuk maju ke depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Ketua Menteri: Membina Masa Depan Kunak, di Padang Pekan Kunak pada Isnin.

Hajiji dalam Majlis Bersama Ketua Menteri: Membina Masa Depan Kunak, di Padang Pekan Kunak pada Isnin.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Hajiji mengulangi pendiriannya yang mahu GRS mengetuai cabaran kerajaan negeri bagi menghadapi PRN17.
Katanya, beliau merasai kehendak rakyat negeri ini yang mahu supaya kerajaan negeri diketuai oleh parti tempatan, khususnya menerusi GRS selaku satu-satunya gabungan politik berasaskan parti tempatan di Sabah.
Beliau berkata, pencapaian kerajaan negeri yang diketuai GRS ketika ini sudah terbukti, termasuk dari segi pembangunan ekonomi yang wajar terus ditingkatkan melalui mandat baharu daripada rakyat melalui PRN17 nanti.
“Banyak inisiatif kita laksanakan di seluruh Sabah yang cukup baik untuk masa depan bukan saja kepada pembangunan Sabah, tapi untuk membangunkan ekonomi kita keseluruhannya.
“Saya bangga kerana kita mempunyai satu pasukan mantap dalam kerajaan dan rakyat memberikan sokongan padu. Kita mesti belajar daripada sejarah politik Sabah, kalau asyik gaduh, kita akan berpecah.
“Atas sebab itu saya mahu GRS menjadi ketua pada PRN nanti, saya merasai denyut nadi rakyat kepada kita. Aspirasi mereka mahukan supaya kerajaan diketuai oleh sebuah parti tempatan di Sabah.
“Kita jangan fikir lain lagi, kita mesti pastikan sokongan kepada kerajaan hari ini yang sudah kita nampak bukti pencapaiannya,” katanya.
Hajiji berkata pencapaian dilakar kerajaan negeri pimpinannya tidak pernah berlaku dalam kerajaan terdahulu, antaranya Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang memberi banyak manfaat kepada Sabah.
Katanya, banyak yang diperolehi Sabah melalui perjanjian itu seperti 20 peratus pegangan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang dan projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Sipitang.
“Banyak yang kita dapat ini, ada lagi masih dirunding dengan PETRONAS, dulu mana ada.
Kalau kita runding dengan baik, PETRONAS beri kita peluang majukan minyak dan gas di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian kerajaan pimpinannya tetap menjadi keutamaan meskipun dirinya menjadi sasaran serangan fitnah, termasuk dianggap sebagai seorang pemimpin yang lemah.
“Walaupun tiap hari difitnah, ada yang kata apa itu Hajiji lemah lembut, sentimental. Tapi belum tahu siapa Hajiji, tidak pandai takut, kita lawan kerana saya tahu rakyat di belakang GRS,” katanya.
Pada majis itu, Hajiji turut mengumumkan penyerahan tanah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sebagai sebagai rizab perkampungan bagi Kampung Kunak Jaya, Bagian dan Selamat.
Beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM1.2 juta untuk membina kemudahan jeti di Kampung Pangkalan seperti disuarakan Norazlinah selaku wakil rakyat Kunak.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut meminta rakyat Kunak supaya meneruskan sokongan kepada Norazlinah dan memastikan kemenangan GRS pada PRN17 demi kesinambungan pembangunan di daerah ini.
Deasoka