PMX tekan perkukuh nilai integriti di bulan Ramadan

PMX tekan perkukuh nilai integriti di bulan Ramadan

TUARAN: Integriti dan disiplin bukan sekadar nilai individu, tetapi faktor penting dalam membentuk kepemimpinan yang bertanggungjawab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, integriti tidak hanya diukur dalam urusan pentadbiran, tetapi juga dalam kehidupan seharian, termasuk tanggungjawab dalam keluarga dan masyarakat.

Katanya, kesedaran terhadap kepentingan dua elemen ini perlu diperkukuh, terutama dalam memikul amanah kepada rakyat dan negara.

“Sebab itu saya sering tanya. Kalau benar kita amalkan ini, kita lebih berpaut kepada Allah SWT dan keduanya punya integriti.

“Bagaimana integriti kita ukur? Di pejabat kita, dalam keluarga kita, dalam kerja kita, dalam memikul amanah. Apakah ada integriti? Kerana integritu itu dilatih semasa Ramadhan.

“Mana mungkin kalau kita laksanakan Ramadhan 29 ke 30 hari setiap tahun. Kemudian kita tidak punya peraturan tentang keluarga dan integriti.

“Kita tidak tahu hak kita atau hak orang lain. Kita tidak tahu tanggungjawab untuk membela nasib rakyat atau mengambil hak rakyat. Itu yang diajar dalam agama dan dalam Ramadhan. Iaitu melatih disiplin dan integriti, ” katanya.

PMX berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Tahun 2025 di Padang Istiadat Daerah Tuaran pada Sabtu.

Hadir sama adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan kabinet negeri serta pemimpin setempat.

Jelasnya, ibadah puasa di bulan ramadan adalah latihan untuk mendidik disiplin diri dan memahami hak serta tanggungjawab, termasuk menjaga kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan keperluan untuk membina masyarakat yang berdisiplin dan berintegriti demi masa depan negara yang lebih baik.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|