TAWAU: Usaha membawa program pembangunan kerajaan Madani seperti Program Madani Rakyat (PMR) ke peringkat daerah, memberi peluang kepada golongan usahawan tempatan mendapat maklumat berkaitan program keusahawanan yang dibawa oleh kerajaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ini secara tidak langsung katanya, dapat mempromosi produk tempatan kepada masyarakat luar sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sektor pelancongan domestik.
“Usaha ini juga sebagai langkah mendekati dan mendampingi rakyat, dimana aktiviti mempromosi program-program pembangunan Kerajaan Madani tidak hanya tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja.
“Inilah bukti bahawa Kerajaan Madani tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat walau di mana pun mereka berada,” katanya sempena Majlis Program Madani Rakyat (PMR) 2025; Sabah, di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini pada Ahad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyempurnakan penutupan majlis berkenaan.
Sehubungan itu beliau berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) akan terus membawa sekali gus membantu dalam memperkasa pembangunan keusahawanan, khususnya di negeri ini.
“Inisiatif keusahawanan yang direncana khusus di Sabah seperti Projek Premis Tamu Desa, usaha pendigitalan melalui TEKUN TikTok Shop, pembiayaan sehingga RM800 juta, serta pembukaan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME Corporation Malaysia, telah memberi impak positif kepada lebih 50 ribu usahawan mikro, kecil dan sederhana di Sabah.
“Inisiatif ehsan@KUSKOP juga dilihat mampu membantu menoktahkan kemiskinan tegar melalui pendekatan intervensi bersasar yang melibatkan bimbingan, latihan, modal dan pemantauan menyeluruh.
“Pendekatan yang dibawa oleh KUSKOP ini telah memberi nilai tambah yang strategik kepada landskap keusahawanan tempatan. Justeru, saya berharap program ehsan@KUSKOP ini dapat diperluaskan lagi ke lain-lain daerah dan kawasan luar bandar di Sabah,” katanya.
Beliau juga mahu capaian perkhidmatan perbankan terutamanya bagi agensi-agensi di bawah KUSKOP, diperluaskan.
“Justeru, saya berharap institusi seperti Bank Rakyat akan mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak cawangan, atau sekurang-kurangnya meletakkan mesin ATM atau Automatic Teller Machine di kawasan luar bandar, sebagai kemudahan untuk rakyat, terutama golongan usahawan tempatan,” katanya.
Hajiji berkata, di peringkat negeri beberapa program yang berkaitan dengan pembangunan keusahawanan turut disediakan kepada belia antaranya Skim Jaya Usahawan Belia (Syabas) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah.
Deasoka