TUARAN: Jentera Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) digesa meningkatkan iltizam memerangi fitnah dan pembohongan pembangkang terutamanya di media sosial.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia perlu dijadikan cabaran dan tugasan untuk jentera tersebut.
Katanya, jentera penerangan berperanan menangkis sekali gus membantu memberi penerangan sebenar kepada isu yang dibangkitkan.
“Seperti yang saya sebutkan tadi, kita perlu memerangi fitnah dan pembohongan di media sosial sekarang ini. Jadi jentera penerangan ini mesti fokus kepada itu.
“Jelaskan kepada rakyat apa yang kerajaan sudah buat selama ini.
“Kerana kalau kita tidak jelaskan, kita takut nanti rakyat ada yang terpesong pemikirannya ataupun terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan pihak-pihak tertentu. Inilah tugas jentera penerangan parti, “katanya dalam pelancaran jentera penerangan PGRS, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

HAJIJI (tengah) bersama barisan pimpinan parti bersempena pelancaran jentera penerangan PGRS di Tuaran, pada Sabtu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, pihaknya mahu setiap pemimpin yang tidak dicalonkan supaya sentiasa terbuka dan bersama-sama membantu parti.
Ketua Menteri Sabah itu berkata, bagi calon yang dipilih perlu berazam berkhidmat untuk rakyat dan menolak kepentingan peribadi.
“Apabila kita sudah buat keputusan mengutamakan, mereka mesti kerja kuat. Tanpa memikirkan kepentingan pribadi, ketidakpuasan hati.
“Tetapi berilah keutamaan kepada kepentingan parti.Apabila kita putuskan siapa yang calon, mereka mesti bantu untuk memenangkan calon berkenaan.
Ditanya mengenai kerjasama GRS dan Pakatan Harapan, Hajiji berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin PGRS dahulu sebelum mengadakan rundingan dengan parti komponen GRS mahupun PH.
Deasoka