Pandikar dinasihat tidak keluar kenyataan semborono: PERSANTUN

Pandikar dinasihat tidak keluar kenyataan semborono: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Kesemua pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diminta untuk terus menjaga sensitiviti kemuafakatan gabungan itu dengan tidak mengeluarkan mana-mana kenyataan yang mampu disalah tafsir rakyat.

Presiden PERSANTUN, Datuk Najib Tay Abdullah berkata, tindakan menjaga ‘mulut’ dan kenyataan media amat penting memandangkan ianya mampu dipesongkan pihak tertentu terutamanya pembangkang.

“Saya terpanggil membuat kenyataan ini susulan video tular mengaitkan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin yang berucap di sebuah majlis dipercayai di daerah Sandakan yang mana beliau ada mengkritik pemimpin GRS lain secara terbuka di dalam acara berkenaan.

“Bukannya tidak boleh mengkritik mahupun menegur sesuatu isu atau seseorang pemimpin, akan tetapi biarlah berpada dan jangan bersifat semborono.

“Dalam video tersebut, beliau juga ada menyentuh mengenai kartel politik di parti-parti pemerintah, apakah yang cuba beliau sampaikan?

“Sudah-sudahlah Tan Sri, adalah lebih baik GRS dan parti komponennnya terus mengukuhkan ukhuwah dalam persediasn menghadapi pilihan raya di Sabah, ” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan Pandikar yang direkodkan di majlis berkenaan telah mendedahkan kritikan secara terbuka terhadap pimpinan GRS dan PGRS selain menyifatkan partinya USNO, hanya parti kerdil yang tidak sebanding dengan mana-mana parti di dalam GRS.

Sementara itu, Najib Tay mengingatkan pucuk pimpinan GRS lain supaya berdiri teguh di belakang Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa berhempas pulas menjaga perpaduan semua gabungan parti demi menjaga kredibiliti kerajaan pemerintah.

“Kerajaan gabungan GRS-PH Plus dalam landasan tepat untuk terus mendapat tempat di kalangan rakyat, janganlah kita menjadi pencetus kekeliruaan yang mampu menjadikan kerugian kepada rakan-rakan komponen lain.

“Kesian Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji yang juga merangkap Ketua Menteri Sabah, pandanglah kepada usaha keras beliau untuk memenangkan semua pihak dan janganlah bersikap terlalu pentingkan diri.

“Saya berharap, Pandikar berfikir lebih mendalam sebelum membuat apa-apa kenyataan di masa hadapan dan janganlah kerana isu berebut kerusi atau mahu jadi calon, sanggup berkata apa sahaja memburukkan komponen parti…tolong jangan semborono, ” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|