Naratif tukar kerajaan selesai masalah hanya retorik politik: PERSANTUN

Naratif tukar kerajaan selesai masalah hanya retorik politik: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Anggapan dan naratif sesetengah pihak, terutamanya pembangkang yang membuat dakwaan permasalahan isu di Sabah akan selesai sekiranya bertukar kerajaan hanyalah propaganda politik semata-mata.


Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, trend yang sedang kuat dimainkan pihak tertentu di media sosial mengaitkan kegagalan kerajaan GRS-PH Plus menyelesaikan permasalahan infrastruktur dianggap retorik politik secara berlebihan tanpa mengira kesannya terhadap keyakinan pelabur ke negeri ini.


Jelas beliau, sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa pentadbir-pentadbir kerajaan di Sabah seperti Barisan Nasional (BN) dan Warisan juga tidak dapat menyelesaikan secara tuntas akan isu-isu berkenaan dan beranggapan, menukar kerajaan baharu bukanlah jaminan.


“Mereka terutamanya pembangkang dilihat semakin galak menyebar dakyah bahawa masalah-masalah air, jalan raya dan isu infra yang lain dapat diselesaikan sekiranya pertukaran kerajaan berlaku.


“Akan tetapi, ketika mereka ini memegang jawatan penting di kerajaan dahulu, tidak juga masalah-masalah seumpamanya yang di dakwa selesai, apa jaminan mereka terhadap rakyat Sabah?


“Kerajaan GRS-PH Plus bagi pendapat saya diyakini sentiasa konsisten menyelesai isu rakyat dengan memastikan pelan pembangunan negeri di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ) terus berjalan, kestabilan politik dan lain-lain.


“Perlu diingatkan di bawah pemerintahan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri, Sabah telah berjaya menarik pelabur RM11.34 bilion pada tahun lalu selain hasil dagangan negeri berjumlah RM118.1 bilion pada tahun 2023 yang merupakan yang tertinggi dalam sejarah, ” katanya.


Najib Tay pada masa sama turut mengingatkan naratif dibawakan pihak pembangkang kini semakin ditolak rakyat yang berfikiran positif tanpa mengambil kira politik sempit dibawakan parti-parti pembangkang yang sengaja mensensasikan isu infra di Sabah.


“Perlu diingat, banyak perkara yang dibangkitkan mereka adalah terjahan secara rambang semata-mata mengajak rakyat membenci kerajaan.


“Akan tetapi mereka turut sedar dan tahu, ketika mereka menjadi kerajaan dan bersama kerajaan tidak juga dapat selesaikan masalah yang sama dihadapi oleh kerajaan GRS-PH Plus.


“Sudah banyak contoh, misalnya Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika menjawat Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri JKR, beliau ada memperkenalkan slogan Bung Speed sebagai simbol kepantasan menyelesai isu-isu infra…akan tetapi apa sudah jadi? Mana sudah slogan beliau dahulu? Tidak juga selesai masa beliau jadi Menteri JKR bukan?


“Jadi, bagi saya laungan-laungan mereka ini untuk menukar kerajaan hanyalah sekadar retorik politik sahaja, bukan ada jaminan pun semuanya akan selesai, “katanya.


Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|