KOTA KINABALU : Kerajaan akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf kemudahan infrastruktur Bangunan Menara 11 tingkat, milik Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), terletak di bandar Sandakan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, ini bagi dijadikan bangunan menara sebagai aset strategik yang berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Sandakan.
Katanya, pihak MPS akan melaksanakan pemasangan kemudahan sistem CCTV, pencahayaan serta kemudahan keselamatan di seluruh kawasan ini.
“Selain itu MPS akan berusaha untuk mengoptimumkan penggunaan bangunan ini disamping sedang mengkaji model pengurusan aset lebih bersesuaian dan berkesan untuk kemudahan jangka masa panjang.
“MPS akan memperkenalkan Model Sewa Pajakan dengan membabitkan Kerjasama Awam-Swasta untuk menjadikan bangunan ini sebagai pusat ekonomi jangka panjang dengan pelaburan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, di sini hari ini.
Deasoka