TUARAN: Majlis Tenaga Sabah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) tenaga elektrik yang akan dijana melalui beberapa projek penjanaan elektrik bagi meningkatkan keperluan tenaga di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah tenaga itu diluluskan setakat bulan lalu sejajar usaha kerajaan memastikan tiada lagi masalah kekurangan tenaga di negeri ini pada masa depan.
Katanya, langkah itu diambil sejak kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia tenaga daripada kerajaan persekutuan bermula pada Januari tahun lalu.
“Kita mendapat kuasa kawal selia tenaga yang diturunkan daripada kerajaan persekutuan pada Januari tahun lalu dan saya selaku Pengerusi Majlis Tenaga Sabah setakat bulan lepas kita telah meluluskan hampir 1,000 MW tenaga yang bakal dijana.
“Ia termasuk membina hidro elektrik dan juga penggunaan kaedah lain seperti solar serta turbin angin yang sekarang kita luluskan kepada beberapa syarikat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sulaman dan Mukim Indai Tuaran di Dewan Terbuka Kampung Simpangan pada Rabu.
Turut hadir Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar.
Hajiji berkata, .jika projek yang dirancang itu dapat dilaksanakan, pengguna di Sabah dijangka tidak lagi berdepan kekurangan bekalan elektrik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Mengulas lanjut mengenai masalah elektrik di Sabah ketika ini, Hajiji berkata walaupun berlaku gangguan, ia tidaklah seteruk gangguan elektrik yang pernah berlaku beberapa tahun lalu.
“Walaupun ada gangguan elektrik, sebenarnya keperluan tenaga sejak beberapa tahun ini cukup tinggi kerana pelabur ramai datang dan mereka perlukan tenaga yang besar.
“Tapi syukur dengan pengurusan Sabah Electricity dan kepimpinan pengerusinya, kita dapat mengatasi masalah ini dan nampak gangguan tidaklah sekerap beberapa tahun dulu,” katanya.
Hajiji yakin masalah bekalan elektrik di Sabah mampu diatasi Sabah Electricity yang berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pengguna di negeri ini tidak berdepan gangguan bekalan.
Deasoka