Lebih banyak kontrak untuk syarikat OGSE Sabah

Lebih banyak kontrak untuk syarikat OGSE Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dengan kerjasama PETRONAS dan rakan-rakan industri telah menetapkan sasaran peningkatan sebanyak 100 peratus kontrak tempatan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) untuk syarikat-syarikat dari Sabah tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Dari segi pengambilan pekerja, sasaran adalah jelas: 100 peratus bagi jawatan bukan teknikal dan sekurang-kurangnya 80 peratus jawatan teknikal dalam sektor OGSE mesti diisi oleh rakyat Sabah.

“Sasaran ini mencerminkan komitmen teguh kita untuk memperkukuh penyertaan tempatan dan membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan serta berasaskan bakat tempatan,” katanya pada Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah kelmarin.

Ucapan Ketua Menteri telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.

Menurut Ketua Menteri, pada tahun 2021, jumlah kontrak yang diberikan kepada syarikat dari Sabah bagi kerja-kerja perkhidmatan minyak dan gas tempatan berjumlah RM341 juta dan menjelang akhir tahun lalu, jumlah itu melonjak kepada lebih RM2 bilion bagi kerja-kerja yang dianugerahkan di dalam dan luar Sabah.
Beliau berkata, industri minyak dan gas Sabah merupakan tunjang penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri ini dan terus memainkan peranan utama, menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran minyak dan kira-kira 20 peratus hasil gas negara.

“Namun, kami percaya peranan kita perlu melangkaui sekadar pengeluaran. Kita berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan bagi inovasi OGSE dan amalan tenaga mampan serta sebagai hab di mana pelaburan, bakat dan teknologi bertemu untuk mencipta nilai jangka panjang,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri melalui SMJ Energy telah mengambil langkah tegas untuk mendapatkan ekuiti dalam aset huluan dan hiliran utama, termasuk PSC Samarang dan loji petrokimia SAMUR, serta kepentingan dalam blok pencarigalian SB403, SB409, SB306A dan SB306B.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|