Mengambil maklum kenyataan Ketua Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman yang menggesa Timbalan Presiden Keadilan, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk menang sebagai Timbalan Presiden pada Pemilihan Keadilan 2025, saya menganggap ia sebagai satu kenyataan yang bertujuan memecah belah kesatuan dalam parti.
Seperti sedia maklum hubungan Rafizi dan Saifuddin sangat baik dan bagi memastikan pemilihan berjalan dengan baik, dua tokoh ini sudah beberapa kali bertemu bagi membincangkan isu pemilihan dengan baik.
Presiden Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri telah beberapa kali memaklumkan agar Rafizi diberikan laluan mudah pada pemilihan kali ini. Dalam erti kata lain, Presiden mahu supaya Saifuddin berlapang dada dan tidak bertanding bagi jawatan tersebut. Namun sudah tentu perkara ini tidak disenangi ejen pemecah belah dalam parti yang mahu menjadikan pemilihan kali ini sebagai peperangan saudara ‘civil war’.
Beliau (Syed Badli) yang baru sahaja memegang jawatan Ketua Cabang sudah dilihat ‘kurang ajar’ dan cuba menafikan gesaan Presiden Keadilan yang mahu pemilihan berlangsung dengan baik tanpa perpecahan apatah lagi Sabah bakal menghadapi Pilihanraya Negeri.
Sudah tentu sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, setiap anggota boleh bertanding bagi jawatan yang mereka layak. Namun Presiden Keadilan sebelum ini dengan jelas menyatakan rundingan juga sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.
Setiap pemilihan pasti akan ada pihak yang tidak berpuas hati, namun kita melihat semua pihak masih mampu mengawal keadaan termasuk mereka yang tewas pada pemilihan kali ini.
Rafizi sebagai seorang Menteri yang sangat aktif dan berjaya dalam menjalankan amanah selaku Menteri Ekonomi dan jarang mengambil cuti juga perlu masa rehat apatah lagi beliau yang umum tahu mempunyai beberapa masalah kesihatan. Namun beberapa individu termasuk Syed Badli inilah antara yang sengaja menjadikan cuti Rafizi sebagai satu isu dan kaitkan dengan ketidak puasan hati terhadap pemilihan.
Walaupun cuti Rafizi panjang, namun saya dimaklumkan hari ini beliau telah kembali berkerja memandangkan banyak keperluan yang memerlukan beliau sendiri hadir selaku Menteri Ekonomi. Inilah menteri ‘hard working’ yang patut dijadikan contoh dan bukan difitnah.
Saya ingin memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan pelbagai spekulasi negatif dan menjadi ejen pemecah belah untuk berhenti melakukan kerosakan pada parti. Jadikan pemilihan ini sebagai persaingan dalam keluarga bagi memberi ruang anggota memilih pemimpin dengan tenang dan tidak berhadapan dengan ejen pemecah belah seperti Ketua Cabang Titiwangsa ini.
Kenyataan media oleh: Fekirie Gobet, Timb.Pengarah Komunikasi Keadilan Sabah, Pengarah Komunikasi AMK Sabah