KIULU: Sektor pelancongan di Sabah terus mencatat pencapaian memberangsangkan dengan sumbangan ketara daripada Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT), terutamanya di kawasan pedalaman negeri ini, seperti Kiulu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, pelancongan merupakan antara teras penting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dan Kiulu muncul sebagai salah satu perintis utama dalam pembangunan CoBT.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan hasil negeri daripada CoBT meningkat kepada RM7 juta pada tahun 2024, berbanding RM6.7 juta pada tahun 2023 daripada 18 daerah aktif.
“Saya mahu CoBT dibangunkan secara aktif kerana potensinya dalam mengembangkan dan menjana ekonomi di kawasan pedalaman negeri ini”, katanya pada perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Kiulu pada Selasa.
Hajiji berkata, Sabah menerima seramai 923,709 pelancong pada suku pertama tahun 2025, iaitu sekitar 26 peratus daripada sasaran keseluruhan 3.5 juta pelawat tahun ini.
“Saya yakin sasaran ini bukan sahaja mampu dicapai, tetapi juga berpotensi untuk melebihi sasaran seperti prestasi pada 2024 dengan kehadiran 3.2 juta pelawat berbanding sasaran awal seramai 3 juta pelancong,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya kemudahan infrastruktur luar bandar dipertingkatkan sebagai asas untuk menyokong pertumbuhan pelancongan dan pertanian.
Katanya, infrastruktur yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat tempatan, malah menjadi tarikan utama kepada pelancong asing dan domestik.
Hajiji menyeru rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh pembangunan negeri, khususnya dalam sektor pelancongan yang menjadi pemangkin utama kepada ekonomi Sabah.
Deasoka