TUARAN: Kerajaan Negeri telah melancarkan Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah yang berpotensi untuk menjana pendapatan tahunan sebanyak RM34.4 juta, berdasarkan anggaran pendaratan sebanyak 3,240 metrik tan setahun dan pulangan pelaburan sebanyak 7.6 kali ganda.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek ini akan membuka peluang eksport baharu bagi hasil kerang Sabah melalui aktiviti hiliran seperti pengetinan, sambal kerang dan produk makanan berasaskan kerang darah.
“Bagi sektor swasta, inilah masa terbaik untuk melabur dalam pemprosesan hasil laut, pembungkusan lestari dan pembinaan rantaian eksport Sabah.
Peluang ini bukan sahaja menguntungkan, malah membina masa depan yang mampan,” katanya semasa merasmikan projek tersebut di Borneo Beach and Mangrove Resort, di sini hari ini.
Kata Ketua Menteri, Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan Ekonomi Biru menjadi landasan ekonomi yang kukuh untuk rakyat negeri ini.
Menurutnya, Kerajaan Sabah komited untuk mengorak langkah dalam penerokaan khazanah laut dan maritim sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan negeri ini dalam penerokaan Ekonomi Biru di peringkat antarabangsa.
”Ekonomi Biru bukan saja berupaya menseimbangkan kemakmuran dengan kelestarian, malah menjelang tahun 2030, nilai ekonomi biru global dijangka mencapai USD3 trilion,” katanya.
Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah ini merupakan kerjasama antara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah, dan dilaksanakan dalam dua fasa.
Fasa pertama yang telah pun selesai melibatkan kajian pemetaan dan eksplorasi sumber kerang darah (Tegillarca granosa) dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 di enam lokasi berpotensi, termasuk Tuaran dan Beluran yang menjadi tapak projek rintis.
Fasa kedua dijadualkan bermula pada tahun 2026, melibatkan pemindahan teknologi dan pelaksanaan sebenar projek di lapangan.
Hajiji berkata sebanyak 77 lot penternakan telah dikenal pasti, merangkumi 12 lot di Tuaran dan 65 lot di Beluran, meliputi kawasan seluas 1,617 hektar.
Setiap lot akan diusahakan oleh 10 Ketua Isi Rumah (KIR), menjadikan jumlah keseluruhan seramai 770 KIR sebagai penerima manfaat utama, terdiri daripada pengusaha perikanan, komuniti luar bandar dan golongan B40.
Malah, jika hanya 40 peratus daripada lot ini beroperasi secara optimum, peserta masih mampu menjana pendapatan bulanan sekitar RM4,800 hingga RM6,500,” katanya.
Deasoka