KOTA KINABALU:Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan partiparti tempatan lain yang sehaluan.
“Kita berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan negeri Sabah seharusnya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat — tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.
“Sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan partiparti tempatan lain yang sehaluan.
“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

HAJIJI mendedahkan GRS sedia bertanding secara solo dalam PRN Sabah.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri Sabah itu berkata, apa yang GRS perjuangkan ialah kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sabah.
“Seperti yang sering saya tekankan, Kerajaan Negeri hari ini perlu terus diperkukuhkan kerana ia membawa kestabilan dan mewakili satu bentuk kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
“Mengenepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi.
“Sehubungan itu, GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat untuk menetapkan hala tuju gabungan ini dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang” katanya.
Menurut beliau, GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka.
Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama BN-PH di ibu negara, kedua-dua gabungan terbesar kerajaan Perpaduan itu bersetuju untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut kenyataan tersebut, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mencapai kesepakatan itu dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi pada Khamis lalu.
Deasoka