Kota Kinabalu: Hasrat Barisan Nasional (BN) Sabah untuk menjadikan GRS dan sekutunya, PH-Plus sebagai rakan gabungan dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang seharusnya diteliti dengan sewajarnya.
Persatuan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, kewajaran pengumuman Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mendedahkan kerjasama BN Sabah dan PH Sabah baru-baru ini mampu mengelirukan ramai pihak memandangkan realiti politik adalah berbeza.
Jelasnya, PH Sabah juga diminta sebulat suara menyatakan pendirian mereka terhadap senario terbaru tersebut kerana ia bakal mengundang persepsi lain sedangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah memuktamadkan kerjasama GRS-PH adalah sebagai doktrin utama menjelang PRN Sabah.
“Oleh yang demikian, pengumuman Datuk Seri Bung Moktar tempoh hari kalau boleh diulas oleh pemimpin utama PH Sabah meskipun di peringkat pusat sama ada daripada BN ataupun DAP telah menyatkan pendirian mereka untuk menilai dengan lebih teliti.
“Sebaiknya, BN Sabah dibawah kelolaan Bung Moktar menjernihkan hubungan mereka dengan GRS terlebih dahulu, bukannya membuat pengumuman sebegitu memandangkan semua tahu apa yang terjadi di Sabah, terutamanya Langkah Kinabalu.
“PERSANTUN meminta semua rakan gabungan dalam GRS-PH Sabah supaya meneliti sebaiknya apa maksud tersirat mereka untuk bergabung ini sedangkan sebelumnya, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji secara konsisten memulihara hubungan baik antara parti pemerintah sedia ada, ” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, dalam sidang DUN Sabah semalam, Bung Moktar mendedahkan gabungan antara ketiga-tiga blok utama parti di negeri itu tidak mustahil berlaku dalam mendepani PRN yang dijangka berlangsung tahun ini.
Dedahnya, di dalam politik, semuanya adalah bersifat kemungkinan dan melihat tidak ada sebuah parti dominan di Sabah mampu mentadbir kerajaan negeri selepas PRN nanti.
Dalam pada itu, Najib Tay turut meminta supaya rakan-rakan gabungan di dalam GRS dan PH Sabah supaya mengikatkan ukhuwah bagi memastikan kemenangan dapat berhasil dalam pilihan raya akan datang.
“Apa yang penting adalah kestabilan, kerjasama antara GRS dan PH Plus di Sabah sudah terbukti meskipun tempoh yang singkat.
“Terlalu banyak pencapaian telah terhasil dan sayang sekiranya ia tidak dikekalkan,” katanya lagi.
Deasoka