KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan mengemukakan kiraan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu daripada Kerajaan Persekutuan berdasarkan kiraan dan data yang dimiliki oleh kerajaan negeri.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, langkah itu diambil setelah lapan permohonan kerajaan negeri sebelum ini untuk menilai fakta dan kiraan daripada kerajaan persekutuan berkenaan perkara tersebut tidak mendapat maklumbalas.
“Maka sebab itu Sabah telah mencadangkan supaya kita akan buat, memberikan fakta itu daripada pihak Sabah mengenai 40 peratus setelah disemak dan diluluskan oleh kabinet dalam mesyuarat yang akan datang.
“Supaya fakta ini, asas-asas ini, jumlah-jumlah ini akan diserahkan kepada jawatankuasa untuk disemak oleh kerajaan Pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, perkara yang turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semalam menurut Jeffrey termasuk isu pelancongan, isu kuasa, pengembalian tanah yang tidak digunakan kerajaan persekutuan, pewujudan dan perlantikan jawatan-jawatan, isu pendidikan dan kesihatan.
“Berkenaan lain-lain perbincangan diutarakan, kita bincang isu-isu seperti Borneosisasi, dan juga kita telah berbincang isu-isu yang lain seperti isu pelancongan, isu-isu kuasa, pengembalian tanah yang tidak digunakan oleh federal, isu-isu mengenai perlantikan pewujudan jawatan-jawatan, isu pendidikan, isu kesihatan,” katanya.
Deasoka