KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya merampas 51 guni berisi daging penyu kering seberat kira-kira 765 kilogram dan balat yang bernilai lebih RM500,000 dalam kejadian berhampiran Timur Laut Kampung Tajau Laut, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, tiada tangkapan individu berjaya dilakukan memandangkan suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa menghampiri bot dinaiki mereka.
Jelasnya, dianggarkan lebih bangkai 1,000 ekor penyu ditemukan dalam rampasan berkenaan dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil daripada OP PLUTO TIMUR / OP TIRIS di sekitar perairan Kudat telah diatur gerak ke kawasan pesisir pantai lebih kurang 0.5 batu nautika Timur Laut Kampung Tajau Laut bagi memeriksa sebuah bot yang sedang melakukan aktiviti kira-kira pukul 10.27 malam, Selasa.
“Kawasan cetek di kawasan berkenaan telah menyukarkan bot ronda untuk menghampiri bot terbabit untuk membuat pemeriksaan.
“Menyedari kehadiran penguat kuasa Maritim Malaysia, suspek bertindak meloloskan diri di kawasan cetek berhampiran.
“Aset dari darat telah diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemeriksaan di kawasan terbabit kerana bot ronda tidak dapat merapat di kawasan pantai,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Mengulas lanjut, Maurice Grenville berkata, selain daripada rampasan daging penyu tersebut, pihaknya juga menemukan 19 guni berisi balat dan kesemua barangan terbabit telah dibawa ke ibu pejabat untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM500,00.
“Semua barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat dibawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (cubaan menyeludup daging haiwan spesies terancam),” katanya.
Tambah beliau, Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
Deasoka