PENAMPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari menegaskan hasrat untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah sekurang-kurangnya akhir bulan Julai ini.
Beliau berkata, ini berikutan permasalahan tersebut di negeri Sabah agak meruncing berbanding negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang dan Selangor meskipun terdapat penurunan.
Jelasnya, meskipun penurunan kadar kemiskinan tegar yang dimaksudkan adalah 20,000 kepada 9,000 setakat ini, beliau berharap langkah tuntas dapat diambil bagi penyelesaian segera pada tempoh dua bulan hadapan dapat direalisasikan.
“Apa keutamaan saya, pembasmian kemiskinan… Sabah mempunyai masalah lebih serius jika dibandingkan dengan Pulau Pinang atau Selangor, kerana saya fikir kemiskinan itu mengambil masa untuk diselesaikan.
“Kemiskinan tegar maknanya uniform sekolah tidak mampu beli, makan minum atau susu untuk bayi mungkin ada masalah sebab itu tanggungjawab kerajaan persekutuan bersama negeri untuk menoktahkan kemiskinan kita.
“Mulanya ada sekitar 20,000 kemudian kita ambil langkah-langkah segera, sekarang ini tinggal 9,000 dan semalam kita mesyuarat, saya ucapkan terima kasih kerana dapat kerjasama penuh daripada kerajaan negeri, kita mahu noktahkan kemiskinan tegar di Sabah ini sebelum akhir julai 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, hari ini.
Hadir sama dalam upacara majlis tersebut adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan 2024, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Huguan Siou, Tan Sri Pairin Kitingan beserta pemimpin-pemimpin negeri Sabah yang lain.
Sementara itu, dalam ucapan yang sama, Anwar turut mengumumkan satu penyelesaian jangka pendek untuk menyelesaikan permasalahan bekalan elektrik di Sabah menerusi penyegeraan saluran gas dari Sarawak ke negeri ini bagi menjana kapsiti elektrik pada tempoh yang terdekat.
Jelasnya, perkara itu telah dibincangkan olehnya bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam lawatannya ke negeri jiran baru-baru ini.
“Saya bincang tadi dengan Ketua Menteri (Hajiji), kita bincang masalah kemiskinan kerjasama negeri dan persekutuan selesaikan, kita bincang masalah air, masalah bekalan elektrik.
“Kita ada beberapa cadangan jangka pendek dan perbincangan di Sarawak dengan Premier, Abang Jo (Tan Sri Abang Johari), kita minta segerakan gas daripada Miri melalui Sipitang untuk masuk terus ke Sabah dan dipercepatkan supaya dapat menyelesaikan masalah bekalan elektrik ini dan seterusnya membawa pelabur-pelabur ke Sabah,” katanya lagi.
Deasoka