Anwar ulangi kekal setia, kerjasama dengan GRS

Anwar ulangi kekal setia, kerjasama dengan GRS

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menjelaskan pendirian pihaknya kekal setia dan berkerjasama dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, mekanisme Persekutuan menerusi Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dipimpinnya mempunyai acuan yang sangat baik dengan kerajaan Sabah dalam menyantuni aspirasi rakyat dan menjamin kestabilan politik sedia ada.

Menurut Anwar, beliau selaku wakil kepada Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengulangi kesetiaan kerjasama berkenaan.

“Untuk negeri Sabah, saya beritahu Ketua Menteri dan GRS bahawa kita, saya mewakili Keadilan (PKR) dan PH tetap setia dan berkerjasama dengan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Hajiji.

“Ini akan memudahkan kita, jaga kestabilan politik di negeri dan persekutuan kerana kerjasama kita di peringkat persekutuan sangat baik sama ada PH, UMNO/BN, GPS dan GRS itu parti-parti induk yang telah membantu menjamin kestabilan politik.

“Semua ini bermakna mewakili semua kaum, semua suku kaum yang utama dan semua agama…tidak boleh sesiapa pun pertikaikan hak kita dalam kerajaan Perpaduan, Madani untuk melindungi dan mempertahankan semua kaum, suku kaum dan semua agama di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, hari ini.

Hadir sama dalam upacara majlis tersebut adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan 2024, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Huguan Siou, Tan Sri Pairin Kitingan beserta pemimpin-pemimpin negeri Sabah yang lain.

Sementara itu, dalam ucapan berkenaan, Anwar pada masa sama turut meminta rakyat Sabah kekal optimis dengan rundingan tuntutan negeri ini terutamanya berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Persekutuan.

“Dalam tempoh satu tahun, kerajaan kita selesaikan masalah MA63 jauh lebih baik apa yang telah dibuat 10 tahun yang lalu.

“Sebaik sahaja kerajaan negeri Sabah bersedia, semua perkara sama ada pelabuhan ataupun hal-hal seperti kita serahkan Lembaga Letrik, SEDCO saya tidak masalah sama sekali kita tunaikan apa yang kita janjijkan dalam MA63, ” katanya.

Terdahulu, PMX yang tiba ke Sabah sejak semalam akan melanjutkan lawatan ke Wilayah Persekutuan Labuan pada sebelah petang Jumaat untuk menghadiri dua program di pulau berkenaan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|