SMJE dikaitkan skandal ala 1MDB, Kerajaan Negeri tolak dakwaan naif pembangkang: Masidi

SMJE dikaitkan skandal ala 1MDB, Kerajaan Negeri tolak dakwaan naif pembangkang: Masidi

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menolak sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas yang tersebar dalam talian yang cuba mengaitkan latihan penjanaan dana terbaru SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) dengan skandal 1MDB.

Semua pihak dan individu yang terlibat mesti berhenti menyebarkan maklumat palsu dan membuat kenyataan melulu kepada orang awam.

Beliau berkata, Presiden Parti Warisan Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang, Datuk Seri Shafie Apdal telah membuat tuduhan yang tidak berasas sama sekali, bertujuan untuk mengelirukan rakyat Sabah berkenaan penstrukturan semula GLC Kerajaan Negeri, iaitu pengambilalihan Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) oleh SMJE dan penstrukturan semula atau pembiayaan semula pinjaman daripada Sabah Development Bank Berhad (SD Bank).

Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Sabah sebagai membalas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tular di laman media sosial baru-baru ini mengaitkan latihan penjanaan dana terbaru SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) dengan skandal 1MDB.

Pengambilalihan SIP oleh SMJ Energy Sdn Bhd dan Penggunaan RM900 juta Sukuk Seperti yang telah dijelaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada November 2023 dan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah pada 29 Mei 2024, pengambilalihan SIP oleh SMJE serta penstrukturan semula hutang SIP melalui pengeluaran Sukuk RM900 juta adalah langkah yang bersifat menambah nilai dan membawa manfaat berikut:

  1. SIP akan menjimatkan lebih RM60 juta setahun kerana faedah Sukuk adalah lebih rendah daripada faedah yang perlu dibayar kepada SD Bank;
  2. Bon tertunggak SD Bank kini dikurangkan sebanyak RM700 juta dan boleh meneruskan operasi terasnya sebagai bank pembangunan untuk membiayai projek dalam bidang fokus tenaga, air dan infrastruktur;
  3. Hasil daripada penstrukturan semula ini, SMJE telah menerima RM397 juta melalui pemilikan 10 peratus SIP dalam Petronas LNG9 Sdn Bhd (PLNG9). Pemilikan 10 peratus PLNG9 (kini dipindahkan dari SIP ke SMJE) akan terus menjana pendapatan dianggarkan sebanyak RM150 juta setahun untuk tempoh 13 tahun akan datang bagi SMJE; dan
  4. Operasi dan aset lain SIP, termasuk perkhidmatan dan aset luar pesisirnya (FPSO/FSO) telah menjana RM271 juta dalam pendapatan untuk SMJE sejak pengambilalihan tersebut.

Program Sukuk Wakalah tertakluk kepada penggunaan hasil yang ketat, termasuk pembiayaan perbelanjaan modal, menanggung kos yang berkaitan dengan perniagaan tenaga, membiayai semula pembiayaan Islamik yang sedia ada dan akan datang, serta menanggung perbelanjaan yang berkaitan. Hasil Sukuk digunakan untuk membiayai semula pinjaman sedia ada SIP dengan SD Bank yang mematuhi program Sukuk Wakalah dan prinsip Syariah yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai sebahagian daripada latihan penstrukturan korporat.

Menurutnya, sebagai bekas Ketua Menteri dan Menteri Kewangan, beliau sepatutnya tahu bahawa untuk Sukuk Wakalah diterbitkan, mesti ada syarat yang jelas dan terperinci mengenai bagaimana dana tersebut akan digunakan.

Ternyata, pelabur-pelabur amat yakin dengan penerbitan Sukuk Wakalah SMJE yang telah terlebih langganan sebanyak 3.9 kali ganda, membolehkan SMJE mendapatkan kadar faedah yang sangat kompetitif daripada pasaran modal.

Sukuk sulung ini telah diiktiraf oleh penerbitan The Edge sebagai perjanjian pengumpulan dana bukan IPO terbaik bagi tahun 2023. Jika terdapat unsur ketidakpatuhan, adakah penerbitan The Edge akan mengiktiraf penerbitan Sukuk SMJE? Tambahan pula, RAM, sebuah agensi penarafan yang berwibawa di Malaysia, telah memberikan penarafan AAA untuk program Sukuk Wakalah tersebut.

Pembiayaan semula pinjaman SIP daripada SD Bank juga mengukuhkan penyata imbangan SD Bank dan membolehkannya terus membiayai projek pembangunan di Sabah yang bermanfaat dari segi ekonomi dan sosial serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar untuk mencergaskan ekonomi negeri.

Proses pengambilalihan ini bersifat menambah nilai dan bukan penyelamatan atau “bail-out”. Hasil penerbitan Sukuk yang diterima oleh SD Bank berjumlah RM700 juta digunakan sepenuhnya untuk membayar balik pemegang bon SD Bank. Baki sejumlah kira-kira RM200 juta digunakan untuk menebus pinjaman tertunggak SIP dengan CIMB Bank Berhad.

Usaha ini berjaya menyelesaikan isu sejarah SIP dan memberikan penjimatan besar terhadap kos faedah, seterusnya menyumbang secara positif kepada pembangunan Sabah.

Tuduhan mengenai Kemudahan yang Diberikan kepada Semenanjung Malaysia Terdapat 20 akaun berjumlah RM3.3 bilion yang dilanjutkan oleh SDBank kepada peminjam daripada Semenanjung Malaysia sejak 2001. Daripada 20 akaun ini, 19 akaun adalah tidak berbayar dan berjumlah RM3.1 bilion.

Sebanyak RM3.2 bilion pinjaman kepada syarikat Semenanjung Malaysia telah diluluskan dalam tempoh 2001-2019. Baki RM100 juta diberikan dalam tempoh 2020 – Mei 2024, namun ini adalah untuk kesinambungan projek bagi peminjam yang sedia ada dengan SDBank sebelum 2020, bermatlamat untuk mendapat prospek pembayaran semula yang lebih baik.

Berdasarkan data di atas, ternyata tidak ada pinjaman baharu diberikan oleh SD Bank kepada peminjam Semenanjung Malaysia sejak pengambilalihan oleh Kerajaan kini.

Malah, sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi untuk SD Bank, sebuah Bahagian Syarikat Pengurusan Aset (Asset Management Company atau “AMC”) yang baru telah ditubuhkan pada September 2023 untuk mengutip semula pinjaman daripada Semenanjung Malaysia secara agresif dan menamatkan semua akaun pinjaman di Semenanjung Malaysia selewat-lewatnya pada tahun 2026 atau lebih awal.

Pelantikan Datuk Seri Lim Haw Kuang sebagai Pengerusi SD Bank dan Penasihat Khas SMJE Tidak terdapat unsur konflik kepentingan dalam pelantikan Datuk Seri Panglima Lim Haw Kuang sebagai Pengerusi SD Bank dan Penasihat Khas SMJE kerana kedua-dua syarikat ini dimiliki oleh Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri telah bertindak tegas dalam menangani situasi mencabar yang melibatkan isu kewangan bersejarah yang dihadapi oleh GLC seperti SIP dan SD Bank. Datuk Seri Lim, yang mempunyai reputasi cemerlang serta pengetahuan luas dan pengalaman profesional dalam perniagaan serta industri minyak dan gas, mampu membantu Kerajaan Negeri menangani isu kewangan ini sambil mengembangkan perniagaan minyak dan gas untuk negeri ini.

SMJE beroperasi di bawah tadbir urus yang ketat, dengan Lembaga Pengarah yang komited terhadap ketelusan dan akauntabiliti.

Mereka disokong oleh pengarah bebas yang sangat berpengalaman dalam bidang minyak dan gas serta pelaburan untuk memastikan SMJE beroperasi dan diuruskan secara profesional.

Semua keputusan dibuat adalah demi kepentingan SMJE dan Negeri Sabah.

Tindakan Undang-Undang Penyebaran maklumat palsu yang tidak bertanggungjawab berkaitan perkara ini akan membawa akibat.

Kerajaan Negeri bersedia mempertahankan reputasinya dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil semua tindakan yang berpatutan bagi menegakkan integriti dan profesionalisme dalam latihan korporat ini.

Sebarang cubaan untuk melemparkan tuduhan negatif yang sama sekali tidak benar akan ditentang sekeras-kerasnya.

Paparan video Tiktok ucapan Mohd Shafie dalam satu majlis di Penampang baru-baru ini yang mengaitkan SMJE dengan skandal ala 1MDB.

Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Sabah sebagai membalas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tular di laman media sosial baru-baru ini mengaitkan latihan penjanaan dana terbaru SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) dengan skandal 1MDB.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|