KOTA KINABALU: Sabah masih berupaya mengutip hasil pendapatan negeri dengan kadar memberangsangkan pada tahun lalu meskipun berhadapan dengan cabaran penurunan harga sawit dan minyak mentah.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pada tahun lalu, lebih RM6.9 bilion berjaya dikutip dan angka terbabit melebihi RM11 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, cabaran pengurangan harga komoditi telah menyebabkan penyusutan kutipan daripada dua sumber mentah utama negeri dengan nilai kira-kira RM566.3 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Pada tahun lepas, kita sebenarnya mempunyai kutipan RM566.3 juta dan ia merupakan antara kutipan yang memberangsangkan.
“Saya harus memuji kepada setiap kakitangan kita khususnya seksyen kutipan kerana saya melihat kadang-kadang tindakan mereka ini seperti Along (tukang kutip hutang) banyak aduan daripada pihak-pihak berkenaan mereka ini hari-hari berhubung untuk menagih bayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya bersempena Majlis Makan Kewangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu, semalam.
Sementara itu, Masidi pada masa sama berkata, Kementerian Kewangan Sabah akan sentiasa memperbaiki struktur tatakelola pentadbiran termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jabatan-jabatan di bawah kementerian tersebut.
Jelasnya lagi, langkah itu bertujuan memastikan hala tuju kerajaan dapat dijayakan dan mendatangkan faedah kepada rakyat di negeri ini.
Deasoka