QSB, penyusunan semula babitkan anak syarikat dengan hala tuju baru

QSB, penyusunan semula babitkan anak syarikat dengan hala tuju baru

KOTA KINABALU : Qhazanah Sabah Berhad (QSB) telah melaksanakan penyusunan semula termasuk membabitkan anak syarikatnya dengan hala tuju perniagaan yang baru.

Pengerusinya Datuk Dr Yusof Yacob berkata, penyusunan semula itu bagi meningkatkan hasil pendapatan syarikat yang berteraskan entiti perniagaan sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLS) Kerajaan Negeri.

Katanya, QSB yang mempunyai beberapa anak syarikat yang terlibat dalam beberapa sektor penting di negeri ini boleh menjana pendapatan puluhan dan ratusan juta.

“Setahun saya di QSB, dengan potensi yang ada, penyusan semula QSB dan anak-anak syarikat dilakukan dengan hala tuju perniagaan baru.

“Ini termasuklah membabitkan pelantikan individu yang sesuai di tempat yang betul, perniagaan yang telus dan profesional serta mesti berintegriti dengan menempatkan seorang Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kemudian kita mesti ada kakitangan yang profesional dengan mengurangkan birokrasi termasuk dengan rakan strategik,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim dan Pengagihan Zakat Perniagaan Kumpulan QSB di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif QSB Ahmad Rizal Dahli, Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Pengarah Urusan serta CEO anak-anak syarikat.

Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin berkata, keuntungan syarikat yang diperolehi itu akan dikongsi bersama dengan Kerajaan Negeri, kakitangan syarikat dan rakyat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, menerusi Yayasan QSB turut dilaksanakan adalah untuk pendidikan dan kesihatan.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak Rumah Kesayangan Sabah Kota Kinabalu.

Penyerahan zakat perniagaan turut diserahkan kepada MUIS membabitkan QSB sebanyak RM77,600, Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd (RM804,807), Common Tower Technologies Sdn Bhd (RM147,943) dan Angkatan Hebat Sdn Bhd (RM55,600).

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|