PPN Sabah menang tuntutan hutang tertunggak terhadap NAFAS

PPN Sabah menang tuntutan hutang tertunggak terhadap NAFAS

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah menang dalam tuntutan bayaran balik hutang terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang mencecah lebih RM1 juta.

Penimbang Tara Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) dalam sidangnya pada 7 Mei lalu di pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah memutuskan perkara itu setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Hakim Timbangtara dari LPP Malaysia, Hyder Jaleel Gafoor Abdul Rasheed memutuskan keputusan itu selepas proses pemeriksaan dokumen-dokumen dan mendengar keterangan serta hujah-hujah daripada kedua-dua belah pihak untuk NAFAS menyelesaikan semua tuntutan hutang kepada PPN Sabah.

Dari kiri… Mohd Hafizul Ridhuan Abd Wahab, Saripol Baharin Karim (tengah) dan Alias Abdul Rahman.

Tuntutan hutang itu termasuklah perkhidmatan pengangkutan, kerja-kerja pergudangan, sewaan gudang dan utiliti serta tuntutan bekalan Kit Banjir.

Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) diwakili oleh Pemangku Pengurus Besarnya, Ruddy Hasmawie Mohamad yang bertindak sebagai Ketua, Pengurus Perniagaantani, Anizam Edrus dan Pengurus Aset, Sanuddin Abdul Rahman.

NAFAS pula di wakili oleh Timbalan Pengurus Besarnya, Saripol Baharin Karim yang bertindak sebagai Ketua, Pengurus Kanan Kumpulan Pemajuan Peladang, Mohd Hafizul Ridhuan Abd Wahab, Pengurus Kanan Kumpulan Perniagaan Input Baja dan Kimia (KPIBK), Alias Abdul Rahman, Penolong Pengurus KPIBK, Muhd Al Aprinuddin Hisyamuddin, Penolong Pengurus Bahagian Undang-Undang yang juga Peguam Nafas, Azliana Binti Zaharuddin, Eksekutif Bahagian Perolehan, Noor Nadia Mohamed Isa, Pemangku Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat, Noor Farizan Abdul Kadir dan Eksekutif Bahagian Kewangan, Hamdin Zariff Hamzah.

Penimbang Tara Pendaftar PP juga memutuskan dan mengarahkan NAFAS membuat pembayaran hutang itu kepada PPN Sabah secara bulanan selama tempoh 6 bulan dan pembayaran hendaklah diselesaikan selewat-lewatnya pada 7 haribulan setiap bulan.

Semasa sesi timbangtara itu, Pengurus Kanan KPIBK NAFAS, Alias Abdul Rahman menerangkan dan mengesahkan bahawa untuk tempoh semasa kerja-kerja pengangkutan dan sewaan gudang di negeri Sabah dijalankan oleh Syarikat TS Top Logistics Sdn Bhd dengan pelantikan oleh perolehan NAFAS secara rundingan terus, dan perkara ini diulas dan sebagai salah satu asas pertimbangan dalam timbangtara yang dijalankan oleh Hakim Penimbangtara.

PPN Sabah selaku plantif telah memohon tuntutan hutang terhadap NAFAS untuk dibicarakan Penimbang Tara Pendaftar PP pada 22 November 2023, setelah pihak NAFAS enggan membayar tunggakan tersebut. Sebelum itu, PPN Sabah juga telah berulang kali memohon untuk pembayaran diselesaikan, sehingga PPN Sabah terpaksa mengambil tindakan membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berikutan keengganan pihak NAFAS menyelesaikan tuntutan tunggakan hutang itu, PPN Sabah melalui sidang medianya pada 30 Disember 2023 mencadangkan untuk menjual semua baki stok baja milik NAFAS dibawah Program Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras (BKKIPB) melibatkan Skim Baja Padu Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) yang masih tersimpan di dalam gudang PPN Sabah.

Namun Ketua Pengarah LPP Malaysia, Dato’ Azulita Salim pada 8 Januari 2024 memaklumkan Pengerusi Jemaah Pengarah PPN Sabah bahawa stok baja yang disimpan di gudang yang disewa oleh NAFAS daripada PPN Sabah adalah milik Kerajaan Persekutuan untuk diedarkan kepada pesawah bagi memastikan kos penanaman padi yang ditanggung oleh pesawah dapat dikurangkan dan juga bagi memastikan peningkatan pengeluaran padi di negeri Sabah.

Menurut Azulita, sebagai sebuah entiti badan awam, PPN Sabah perlu jelas bahawa sebarang tindakan yang dilaksanakan perlulah bertujuan menjaga kepentingan awam.

Justeru katanya, tindakan mengurusniagakan stok baja berkenaan bagi apa-apa tujuan dan maksud adalah “dilarang” dan menasihat PPN Sabah agar berhati-hati dalam tindakan dan keputusan yang diambil dalam menangani isu antara PPN Sabah dan NAFAS.

Beliau yang menerima maklum dan telah meneliti berkaitan tuntutan tunggakan hutang NAFAS oleh PPN Sabah berkeyakinan bahawa isu itu boleh diselesaikan secara rundingan muhibbah antara kedua-dua pihak.

Azulita juga menasihatkan agar kedua-dua pihak supaya mencari penyelesaian terbaik secara bersama tanpa melibatkan pihak ketiga serta menjaga hubungan yang baik antara kedua-dua pihak atas dasar pergerakan yang mempunyai matlamat yang sama.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar PPN Sabah, Ruddy Hasmawie Mohamad memaklumkan bahawa baja-baja milik NAFAS yang masih tersimpan dalam gudang yang disewa oleh PPN Sabah, dibenarkan untuk pihak NAFAS mengambil semula baja tersebut hanya setelah tuntutan hutang ini diselesaikan sepenuhnya oleh pihak NAFAS.

“PPN Sabah juga akan terus menuntut setiap kos sewaan gudang ini kepada pihak NAFAS selagi tempoh baja tersebut masih tersimpan di dalam gudang PPN Sabah.

“Sehubungan dengan itu, PPN Sabah mencadangkan agar NAFAS menjelaskan semua tuntutan hutang sepertimana yang diputuskan oleh Penimbang Tara dengan kadar segera”, tegasnya.

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|