PENAMPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan mesej penting dalam aspek perpaduan di Sabah terus terbela dalam meraikan kepelbagaian etnik di negeri ini.
Enggan mengambil kredit atau menerima pujian melambung, hakikatnya beliau komited dalam menyampaikan mesej penyatuan yang jitu tanpa mengira perbezaan agama, budaya atau bangsa termasuklah hal-hal melibatkan negeri Sabah.
Salah satu contoh, beliau merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang merasmikan penutupan sambutan dan hadir ke Pesta Kaamatan di negeri ini.
Perdana Menteri ke-10 menyempurnakan penutupan pesta itu dan ini merupakan kali kedua Anwar hadir ke Pesta Kaamatan Peringkat Negeri.
“Dalam soal perpaduan dan Pesta Kaamatan ini, saya ambil kesempatan untuk menyatakan saya memang hadir kerana sebelum ini saya diberitahu tiada Perdana Menteri yang hadir, saya hadir kerana saya rasa saya mahu jadi pemimpin negara ini yang dirasakan, dipercayai mewakili semua suku kaum.
“Saya mahu semua percaya keupayaan kita sebagai satu kerajaan, seperti mana saya memberikan kepercayaan kepada saudara-saudara sebagai rakyat yang sama-sama mengangkat martabat negara ini,” katanya ketika berucap bersempena Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, hari ini.
Hadir sama dalam upacara majlis tersebut adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan 2024, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Huguan Siou, Tan Sri Pairin Kitingan beserta pemimpin-pemimpin negeri Sabah yang lain.
Sementara itu, mengulas mengenai beberapa isu lain, Anwar dalam ucapan yang sama tetap dengan pendirian Kerajaan Madani untuk berdiri teguh mempertahankan hak-hak orang Sabah seperti mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bagaimanapun jelasnya, beliau meminta semua pihak bertenang dan menyakini tatakelola Kerajaan Perpaduan dalam menyantuni kebajikan rakyat-rakyat Sabah termasuklah isu tuntutan 40 peratus yang hangat dibincangkan di negeri ini.
“Cuma saya minta jangan pertikai, jangan nafikan kerana di Parlimen saudara-saudara tahu, saya terpaksa jawab serangan-serangan kerana peruntukkan Sabah Sarawak menurut Ahli-Ahli Parlimen negeri-negeri (lain) terlalu tinggi, memang betul terlalu tinggi…saya bagi alasan sebab kemiskinan, sebab jalan raya bila naik macam naik bot di Sabah ini.
“Sejak saya jadi perdana menteri dibanding keadaan sebelumnya tahun 2022, peruntukkan keseluruhan untuk Sabah adalah RM12.9 bilion, 2024 saya tambah jadi RM16 bilion untuk negeri Sabah.
“Jadi orang-orang yang menyerang kita harus ingat, betul kita masih belum putus soal tuntutan 40 peratus, tetapi saudara lihat, RM16bilion ini jauh melebihi daripada angka 40 peratus yang dijanjikan itu jadi kena harus lihat keseluruhannya,” katanya.
Anwar dalam masa yang sama sekali lagi menegaskan bahawa tidak timbul isu mengaitkan kerajaan Persekutuan yang dipimpinnya meminggirkan hak-hak rakyat Sabah memandangkan banyak perkara perlu diimbangi mengenai aspek keperluan semasa dan kebajikan kadar segera.
“Saya mahu maklumkan perlu kita satu hati muafakat dan faham bahawa beberapa program ini harus dilakukan cara berperingkat saya baru Perdana Menteri Kerajaan Madani satu setengah tahun, tetapi dalam satu setengah tahun saya pertingkatkan peruntukkan untuk Sabah ini tambah 4 bilion ringgit, tertinggi dalam negara kita.
“Itu sekadar penerangan, saya tengok kadang-kadang ucapan-ucapan termasuklah Ahli-Ahli Parlimen daripada mewakili Kerajaan Perpaduan tetapi dia bercakap saya tidak tahu dia macam (wakil) PAS atau BERSATU, saya tidak tahu…
“Kadang-kadang kritiknya boleh, tetapi bila dia berucap seolah-olah kita nafikan kita anak tirikan, saya tidak tahu cerita dahulu tetapi saudara saudari, dalam jemaah menteri dan Ketua Menteri Sabah mereka tahu, saya ambil perhatian,” katanya.
Deasoka