Pemimpin pembangkang hanya pandai main politik untuk kekal relevan: Nizam

Pemimpin pembangkang hanya pandai main politik untuk kekal relevan: Nizam

KOTA KINABALU: Tuduhan terhadap GRS gagal mengemudi pentadbiran Sabah hanyalah sandiwara politik pembangkang, bagi menutup kegagalan mereka mentadbir negeri dua tahun lalu.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tohmahan demi tohmahan yang dilemparkan kepada GRS selaku pentadbir negeri menunjukkan mereka lebih suka bermain politik daripada terus membela nasib rakyat.

“Pemimpin pembangkang di Sabah tidak ikhlas untuk membela rakyat dan memajukan Sabah kerana terlalu kuat bermain politik untuk kekal relevan dalam politik Sabah sehingga menggunakan keadaan kemudahan asas seolah olah masalah berkenaan hanya berlaku semasa kerajaan hari ini tanpa berbuat apa apa untuk mengatasinya.

“Kenyataan dan ucapan pemimpin parti pembangkang ini amat melucukan apabila menyentuh masalah masalah legasi berdekad ini sedangkan masalah ini adalah masalah yang diwarisi akibat kegagalan kerajaan lalu, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ulas Nizam, tuduhan terbaru daripada ADUN Elopura Warisan Chong Ket Kiun (WARISAN) kepada Ketua Menteri turut membuka pekung sendiri atas kegagalan mengatasi permasalahan isu air masin di kawasan beliau.

“Adun Elopura membangkitkan berkaitan air masin di Sandakan, namun pemimpin ini lupa bahawa semasa mereka menjadi kerajaan lalu telah menamatkan kontrak syarikat yang dilantik oleh kerajaan terdahulu tanpa sebab dan melantik syarikat kontraktor baru yang tidak melaksanakan kerja dengan betul, “katanya.

Jelas beliau, pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor oleh pihak pembangkang sejak kebelakangan ini memperlihatkan mereka semakin tersepit di dalam permainan persepsi.

“Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa kerajaan GRS PH Plus selaras dengan HalaTuju SMJ telah melaksanakan berbagai pendekatan samada berkaitan kemudahan asas, perekonomian, perindustrian, pendidikan dan semua pendekatan itu ada yang telah dirasai rakyat seperti inisiatif modal insan, biasiswa pendidikan, bantuan rumah SMJ, dan ada yang masih dalam pelaksanaan dan penyiapan seperti projek naiktaraf loji rawatan air kogopon serta Telibong 2 dan empangan hidroelektrik ulu padas Tenom.

“Sebut apa sahaja berkaitan keperluan rakyat secara umum, kerajaan menerusi Pelan HalaTuju SMJ sedang menanganinya, dan inilah yang menjadi kerisauan kepada pemimpin Parti Pembangkang di Sabah kerana mereka akan kehilangan modal isu politik mereka,” katanya.

Tambah beliau lagi, tanggungjawab parti pembangkang yang baik ialah memberi teguran yang membina kemajuan dan bukannya pula terlalu bermain politik berusaha mensabotaj segala usaha kerajaan dengan membuat tuduhan seolah olah kerajaan tidak berbuat apa apa langkah penyelesaian.

“Hakikatnya merekalah iaitu parti pembangkang di Sabah yang gagal mengurustadbir penyelesaian ke atas masalah yang dibangkitkan ketika mereka menjadi kerajaan sehingga ditolak oleh rakyat pada pilihanraya lalu” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|