Pembukaan Taman Perindustrian baru di Kimanis tepat masanya untuk tarik minat pelabur – Dr Yusof

Pembukaan Taman Perindustrian baru di Kimanis tepat masanya untuk tarik minat pelabur – Dr Yusof

KOTA KINABALU: Pembukaan Taman Perindustrian Baru di Kimanis seluas 10,000 ekar tepat masanya untuk menyediakan kawasan yang sesuai kepada pelabur yang berminat di negeri ini.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB) Datuk Dr Yusof Yacob yang mengalu-alukan usaha kerajaan negeri itu berkata, ia sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor perlunya ada sebuah lagi taman perindustrian baru.

“Bagi saya, Kimanis merupakan kawasan yang strategik dan selepas ini tumpuan juga harus diberikan untuk membuat taman perindustrian baru di daerah lain seperti di Kota Belud, Kudat atau di pantai timur seperti di Lahad Datu.

“Untuk menarik pelabur ke negeri ini, kita sebagai Kerajaan Negeri atau agensi-agensi mesti menyediakan tapak perindustrian yang teratur. Ertinya kawasan 10,000 ekar itu belum mencukupi kerana kita perlu lebih ramai pelabur datang ke Sabah.

“Namun demikian, kita mesti menyediakan infra khususnya rangkaian jalan raya yang sudah dibuat, bekalan air dan elektrik dan sistem perhubungan telekomunikasi, fiber optik atau internet dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Sabah Invest Berhad George Wong bahawa Kerajaan Negeri baru-baru ini telah meluluskan pembukaan 10,000 ekar tapak perindustrian terbesar Sabah di Kimanis.

Beliau berkata, taman perindustrian ini perlu dibahagikan mengikut kluster dan zon dengan keluasan tertentu supaya apabila membawa pelabur datang ke Sabah, mereka boleh ditawarkan di mana mereka akan melabur mengikut jenis pelaburan dan industri yang mereka bawa.

“Konsep lama dimana kita menjemput pelabur datang ke Sabah dan kita umum ada kawasan perindustrian yang baru tetapi bila membawa pelabur kawasan masih hutan dan tiada infra…ini menyusahkan pelabur dan ini bukan satu cara menarik pelabur,” katanya.

Dr Yusof berkata, pendekatan negara lain seperti Vietnam harus dicontohi yang menyediakan infra jalan raya, bekalan air, elektrik, lot dan pinjaman yang tertentu untuk pelabur mengikut jenis perindustrian yang mereka bawa seperti pelancongan, pembuatan dan industri minyak dan gas.

“Ini kita kena buat persediaan, jadi kita tidak boleh apabila menjemput pelabur dan pelaburlah yang akan berusaha menguruskan soal jalan raya, pembekalan elekrtrik, air dan sebagainya. Ini tidak menarik pelabur kerana mereka ada pilihan lain.

“Kita di Sabah khususnya QSB terlibat dalam menarik pelaburan ini tetapi kita tidak dapat menawarkan kepada mereka dimana atau bagaimana,” tambahnya.

Justeru itu, beliau menyarankan diwujudkan jawatankuasa khas yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkaitan seperti QSB, Sedco dan Sawit Kinabalu serta GLC yang berkaitan.

Katanya, jabatan atau agensi negeri berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Air Negeri Sabah, Telekom dan syarikat Telco mesti terlibat dalam menyediakan infra.

“Jadi kita ada satu sistem yang menarik pelabur ini dan kita juga sediakan beberapa insentif seperti memberi tawaran mengikut jenis industri, pemberian tanah dengan harga yang berpatutan atau murah di peringkat awal sehingga mereka mendapat keuntungan.

“Perlu ada satu perubahan. Konsep lama masuk dulu pelabur baru kita menyediakan rangkaian jalan raya, sambung elektrik, sambung air perlu kita ubah,” katanya.

Dr Yusof berkata, Sabah mempunyai sumber asli yang kaya lebih-lebih lagi sekarang ini Kerajaan Negeri sudah membuka hasil bumi yang baru untuk diterokai.

“Kalau boleh kita membuat industri hiliran dan hasil bumi Sabah dibuat di negeri ini sendiri supaya dapat menyediakan peluang pekerjaan dan membangunkan negeri,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|