Hajiji terima kunjungan JK Induk SUKMA Sarawak

Hajiji terima kunjungan JK Induk SUKMA Sarawak

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak diketuai oleh Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.

Selain memberi taklimat persiapan Sarawak, Abdul Karim turut menyerahkan surat jemputan rasmi kepada Hajiji untuk menghadiri majlis perasmian SUKMA XXI Sarawak yang akan diadakan pada bulan Ogos dan Para SUKMA yang akan diadakan sebulan kemudian.

Hajiji berkata, Sabah akan menghantar kontinjen terkuat menyertai SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak bagi memberi saingan hebat kepada negeri-negeri lain termasuk tuan rumah Sarawak.

Beliau yakin penganjuran SUKMA kali ini adalah dengan baik kerana Sarawak boleh melakukan yang terbaik.

Sementara Abdul Karim berkata, SUKMA XXI Sarawak hanya tinggal 58 hari lagi dan segala persiapan sudah cukup teratur dengan temasya itu akan diadakan di 9 bahagian negeri Sarawak.

Katanya, Sabah merupakan negeri terakhir yang dikunjungi oleh Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA XXI selepas mengunjungi semua negeri termasuk Negara Brunei Darussalam.

Rombongan Abdul Karim terdiri daripada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dn Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatinah Abdullah dan Timbalan Menterinya, Datuk Rosey Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datuk Hii Chang Ker, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Felicia Tan, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak, Semawi Mohamad.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin dan Pembantu Menterinya, Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Datuk Mansur Asun.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|