Patah cubaan bom ikan

Patah cubaan bom ikan

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya mematahkan cubaan aktiviti bom ikan di perairan Pulau Sakar, Lahad Datu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.15 petang Khamis itu, tiada tangkapan berjaya dilakukan namun bot yang dinaiki suspek berjaya dirampas dan sudah dibawa untuk tindakan lanjut.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dr Suzanna Razali Chan berkata, Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26, (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).

“Hasil rondaan yang dilakukan, bot peronda Maritim Malaysia menerusi OPS PLUTO TIMUR dan OPS TIRIS berjaya mengesan sebuah bot pam berwarna biru dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 2.15 petang.

“Difahamkan ketika kejadian, dua lelaki dewasa yang menaiki bot tersebut berjaya melarikan diri dengan terjun dan berenang ke pesisir daratan berhampiran selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim.

“Bot itu kemudiannya ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Turut dirampas sebuah enjin bot, sebuah kompressor, enam botol bom ikan, peralatan menyelam dan lima set jaring menyimpan ikan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Suzanna berkata, komuniti maritim terutamanya di Sabah diingatkan agar tidak melakukan aktiviti bom ikan ini kerana ia bukan sahaja salah di sisi undang-undang laut negara malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga membahayakan nyawa pelaku serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|