Paitan, Sook akan dinaiktaraf jadi daerah penuh: Hajiji

Paitan, Sook akan dinaiktaraf jadi daerah penuh: Hajiji

PAITAN: Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan menaik taraf Daerah Kecil Paitan dan Sook ke status daerah penuh, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, cadangan menaiktaraf Daerah Kecil Paitan dan Sook telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.

“InsyaAllah kedua-dua daerah kecil ini akan dapat beroperasi sebagai daerah penuh dalam masa terdekat ini setelah beberapa perkara teknikal khususnya yang melibatkan urusan pentadbiran, persempadanan daerah dan lain-lain dapat diselesaikan secepat mungkin”.

“Dengan penaiktarafan itu, kita berharap perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di kedua-dua kawasan itu dapat ditingkatkan selaras dengan status daerah penuh”.

“Kita telah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkenaan agar mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempercepatkan proses menaik taraf kedua-dua daerah kecil itu ke daerah penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Berbuka Puasa anjuran bersama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri dan Pejabat Daerah Kecil Paitan di Dewan Terbuka Paitan pada Sabtu.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Hajiji berkata, rakyat Paitan sangat beruntung kerana mempunyai Wakil Rakyat (Datuk James Ratib) yang amat prihatin terhadap kesukaran dan penderitaan yang dialami rakyat termasuk terus berusaha agar Daerah Kecil Paitan dapat dinaik taraf ke daerah penuh.

“Saya percaya dengan menaik taraf daerah ini nanti, ia akan merubah landskap pembangunan dan memberi kesejahteraan yang sebenar kepada rakyat”, katanya.

Menurutnya, walaupun Paitan agak jauh dari Kota Kinabalu, namun kerajaan tidak pernah mengabaikannya sama seperti daerah-daerah lain di negeri ini.

Pada majlis yang sama, Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk membina sebuah Dewan Serbaguna di Paitan bagi memenuhi keperluan rakyat di daerah ini.

“Banyak lagi projek yang akan dilaksanakan di Paitan, antaranya jalan persekutuan dari Kanibongan ke Pitas, saya akan tulis surat kepada Menteri Kerja Raya Persekutuan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi supaya jalan ini dibaiki, dinaik taraf dan diaspal”.

“Sekarang juga kerajaan sedang melaksanakan Jalan Paitan-Pantai Boring dengan kos RM123 juta, maknanya kerajaan tidak lupa Paitan”.

“Kita bagi kemudahan selagi kita mampu berbuat demikian, inilah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus lakukan dan insyaAllah kita akan bawa lebih banyak projek pembangunan ke Paitan,” katanya.

Hajiji berkata, beberapa projek lain juga sudah diluluskan untuk Paitan, termasuk pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) 132 Kilovolt (KV) elektrik dari Bengkoka, Pitas ke Sugut, Paitan.

Turut dilaksanakan, katanya ialah projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sugut, Paitan yang membabitkan 11 kampung, manakala satu lagi projek yang akan dilaksanakan ialah Jalan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Tabatu, Paitan sepanjang 5.6 kilometer.

“Inilah perjuangan kita di Sabah, jadi saya minta rakyat kita di Paitan dan Beluran ini berilah sokongan kuat kepada kerajaan negeri yang ada pada hari ini”.

“Jangan kita terpengarauh dengan fitnah yang disebar pihak tertentu sekarang, maklumlah semakin dekat Pilihan Raya Negeri (PRN) mulalah ada menyebar fitnah oleh pihak yang tidak suka kepada kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agar rakyat negeri ini, termasuk di Paitan menolak calon pihak lawan pada PRN nanti agar usaha memajukan Sabah dapat terus dilaksanakan.

“Kita mempunyai perancangan yang baik untuk rakyat kita, sebab itulah sekarang pembangkang menyerang kita kerana mereka tidak mahu kita maju, mereka hanya mahu rakyat kita macam biasa saja, tapi rakyat kita mahu maju,” katanya.

Hajiji turut menyatakan keyakinannya, ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Beluran iaitu Sugut, Labuk dan Telupid akan kekal dipertahan pada PRN akan datang, manakala kerusi Parlimen dapat ditawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|