KOTA KINABALU: Lebih 300,000 dijangka menjadi ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) pada akhir tahun ini.
Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan momentum dan penerimaan positif terhadap PGRS, beliau turut percaya parti berkenaan berada di landasan tepat dalam lanskap politik di Sabah.
“Kita sudah menghampiri jumlah keahlian ahli parti kepada 300,000 orang dan buat masa ini, boleh dikatakan setiap hari Bahagian dan Cawangan sedang berkempen untuk mendapatkan ahli.
“Saya yakin dan percaya, dalam satu atau dua bulan ini, jumlah keahlian akan melebihi 300,000 orang di Sabah.
“Mesyuarat Perhimpunan Agung negeri akan diadakan pada bulan November akan datang ini, jadi banyak perkara kita bincangkan, bagaimana mahu meramaikan ahli dan sebagainya, kita pastikan PGRS ini kuat serta diterima rakyat, ” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PGRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Sementara itu, mengulas mengenai kesediaan PGRS bekerjasama dengan parti komponen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal tiba, Hajiji berkata, pihaknya optimis mengenai perkara berkenaan.
“Sekarang kita dalam gabungan GRS, tapi dalam gabungan kerajaan ada parti yang bersama-sama kita iaitu PH dan ada juga yang kita sebut sebagai PLUS kerana PLUS ini wakil-wakil rakyat daripada BN/UMNO menyokong kerajaan.
“Jadi mereka ini masih dalam kerajaan, kita ada menteri, kita ada pembantu menteri dalam kerajaan sekarang.
“Jadi, inilah yang kita mahu, jangan gaduh-gaduh, kita mahu pastikan kita sama-sama membangunkan negeri kita dan pastikan perpaduan di kalangan rakyat kita yang pelbagai kaum ini terus memberi kebaikan kepada kita semua, “katanya.
Gambar kredit Facebook Rasmi Hajiji Haji Noor.
Deasoka