KOTA KINABALU: Lebih 5,000 orang yang terdiri daripada pemimpin setempat dan masyarakat umum membanjiri perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal Dua bagi menyambut ketibaan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada Rabu.
Musa yang menaiki pesawat dari Kuala Lumpur tiba bersama rombongan lebih kurang pada jam 12 tengahari turut disambut Barisan Kabinet Negeri Sabah serta para pemimpin tempatan yang berkumpul seawal jam 11 pagi bagi meraikan perlantikan bekas Ketua Menteri itu sebagai yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11.
Perlantikan Tun Musa Aman Sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah baharu menggantikan Tun Juhar Mahiruddin mengundang pelbagai reaksi positif daripada penduduk Sabah.
Musa, 73, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga dilantik bagi menggantikan TYT sekarang, Tun Juhar Mahiruddin.
Tun Juhar akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011, menjadikannya TYT paling lama berkhidmat setakat ini.
Musa menjadi Ketua Menteri Sabah paling lama bermula pada 2003 hingga 2018, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini dengan turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Deasoka