Kerajaan GRS di landasan tepat tangani isu air: Mandela

Kerajaan GRS di landasan tepat tangani isu air: Mandela

PENAMPANG: Bekalan air yang mencukupi merupakan sebahagian daripada sumber keperluan asas yang penting dalam memastikan mobilasi kehidupan seharian dapat berlansung dengan baik.

Kestabilan bekalan air bukan sahaja memberi kesan kepada penggunaan secara domestik, tetapi turut memberi impak ekonomi khususnya kepada pengguna industri. 

Dalam konteks negeri Sabah, isu bekalan air bukanlah isu yang baharu – kebanyakan Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh negeri ini juga kebanyakannya sudahpun menghampiri usia dua dekad.

Usaha bagi menyelesaikan masalah air di Sabah sebelum ini menjadi sedikit lewat bukan sahaja disebabkan oleh sistem saliran air, tetapi turut didorong oleh cabaran urustadbir yang tidak cekap dan berintegriti. 

Mengulas tentang isu air di Sabah, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog merangkap Ketua Pemuda GRS Penampang, Datuk Ceasar Mandela Malakun menyatakan kerajaan negeri Sabah hari ini terpaksa berhadapan dengan masalah yang ditimbun lebih 20 tahun.

Jelas beliau, usaha kerajaan hari ini dalam memastikan sistem pembekalan air terus ditambah baik adalah wajar dipuji, keseriusan pentadbiran kerajaan negeri hari ini pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya dalam menyelesaikan isu air hari ini. 

“Dalam tempoh hampir 3 tahun pentadbiran kerajaan negeri kini, pelbagai gerak kerja telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah air untuk jangka pendek dan jangka panjang. Antaranya,  projek penambahan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II daripada 80 juta liter sehari (JLH) ke 160 JLH yang melibatkan saluran paip utama dan tangki simpanan bagi menghadapi pertambahan populasi yang tinggi dan pembangunan pesat di keseluruhan kawasan utara dan tengah negeri Sabah.

“Pelaksanaan projek terbabit akan dapat meningkatkan tahap keupayaan bekalan dan kapasiti simpanan air daripada 94.6 juta liter (JL) kepada 163.3 JL,” katanya.

Mandela turut menyatakan kekesalan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi perkembangan terkini projek-projek menaiktaraf dan baikpulih sistem saliran air dengan menggunakan isu bekalan air yang terkesan. 

“Misalnya, dalam notis yang dikeluarkan Jabatan Air Negeri Sabah bertarikh 6 Mac 2024 berkenaan gangguan air selama 10 di kawasan Kota Kinabalu, notis tersebut telah disalah tafsir – sedangkan keadaan itu berlaku disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan Filter Media No 3 (189 MLD ke 187 MLD) di LRA Moyog yang jika kerja itu tidak dijalankan boleh menyebabkan masalah air kritikal di masa akan datang, bahkan JETAMA telah memberi komitmen untuk menggantikan 2 Megaliter air yang terkurang akibat aktiviti tersebut melalui LRA Kesigui”. 

Beliau menegaskan, kerajaan hari ini perlu diberikan ruang untuk memastikan keperluan asas ini dapat diperbaiki, terlalu banyak kesan ketidakpedulian urustadbir sebelum ini yang menjadi cabaran, tetapi dengan pelan kerja dan sinergi yang baik antara negeri dan persekutuan pasti memudahkan proses tersebut.

Mandela turut merakamkan penghargaan kepada peruntukan pinjaman sebanyak RM300 juta tahun lepas, serta empat projek baru yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 berjumlah RM200 juta bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di negeri Sabah.

Terbaru, RM100 juta lagi peruntukan tambahan telahpun dipohon. 

Tambahnya lagi, kerajaan negeri hari ini adalah kerajaan paling serius dalam menyelesaikan isu air negeri ini, bermula daripada strategi teknikal penggantian paip-paip utama selepas operasi membanteras kecurian air untuk mengatasi masalah Air Tidak Terhasil (NRW), menaik taraf loji-loji rawatan air (LRA) untuk menampung lebih banyak bekalan air, hinggalah ke peringkat pelaksanaan pelan integriti dan pelan anti rasuah di Jabatan Air Negeri Sabah untuk mengelakkan isu salah laku gorvenans seperti sebelum ini. 

Beliau turut berharap agar masyarakat memainkan peranan dalam konsumsi dan memahami langkah yang perlu diambil Jabatan Air Negeri Sabah sekiranya terpaksa membuat catuan atau berlaku gangguan bekalan untuk memberi laluan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan.  

“Ini sekaligus, mengingatkan semua langkah ini adalah demi kemapanan sistem bekalan untuk masa hadapan, keperluan untuk meningkatkan tahap operasi dan perkhidmatan bekalan air sangat penting, terutamanya melibatkan kawasan sekitar Kota Kinabalu dengan anggaran penduduk seramai 441,000 orang dan peningkatan liputan bekalan ke kawasan Utara Pantai Barat Selatan seperti Tuaran, Telipok, Menggatal, Inanam dan Likas,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|