KOTA KINABALU: Sabah bukanlah negeri yang wajar dijadikan medan uji atau makmal dalam sebarang eksperimen politik.
Timbalan Presiden PGRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, negeri ini tidak mampu lagi menangung kerugian susulan eksperimen politik di luar seperti mana formula penggiliran Ketua Menteri yang pernah dipraktikkan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah suatu ketika dahulu.
MASIDI (tiga kiri) merasmikan persidangan sayap pergerakan PGRS bersempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) yang kedua di Kota Kinabalu, hari ini.
“Saya menyentuh mengenai penggiliran dua tahun berkenaan yang mana ianya merupakan satu eksperimen politik.
“Kita berasakan pengalaman itu tidak mencapai satu keputusan yang bagus,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan sayap pergerakan PGRS bersempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) yang kedua di Kota Kinabalu, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai hala tuju politik, Masidi menegaskan Sabah perlu diberikan penghormatan untuk menentukan hala tuju politiknya tanpa campur tangan pemimpin daripada Semenanjung.
Jelasnya lagi, ia berikutan keadaan dan sentimen tidak selari dengan aspirasi rakyat Sabah.
“Perdana Menteri sendiri amat menghormati kehendak Sabah namun saya agak kecewa apabila ada sesetengah orang beranggapan mereka perlu menentukan apa gabungan dan perundingan.
“Sekurang-kurangnya, pada pendapat saya biarlah GRS dan PH Sabah menentukan gabungan berkenaan dalam terma politik di negeri ini” katanya.
Untuk rekod, persidangan PAT bagi tahun kedua PGRS berlangsung di SICC dengan menyaksikan upacara kemuncak pada esok yang bakal dirasmikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Hajiji Noor.
Deasoka